POKLIP kadang-kadang memang ‘geram’ dengan segelintir netizen yang selalu terus mengecam, memperlekeh dan ada yang menghina usaha produksi tempatan dalam mewarnai industri perfileman negara.
Walaupun kadang apa yang dikecam itu ada benarnya cuma, janganlah sampai menghina. Kritiklah dengan akal dan emosi yang positif. Jangan hanya tahu menjatuhkan usaha sepasukan pengkarya.
Poklip bercakap tentang filem, Abu Si Raksasa yang sebelum ini mendapat kecaman teruk dek penggunaan teknik penjanaan komputer (CGI) yang tidak mencapai piawaian peminat filem tanah air.
Baik, jujur Poklip cakap memang ada ‘cacatnya’ CGI yang dipersembahkan. Tidak ada guna untuk Poklip memuji melambung jika hakikatnya, memang Abu (cicak gergasi) itu nampak kelakar.
Memang menjadi kewajipan pun untuk pihak produksi terlibat dan juga mungkin semua pengkarya mengambil kritikan berkaitan CGI ini dengan lebih serius. Jika tidak cukup bajet, jangan buat.
Bukan tidak boleh, tetapi sanggupkah anda menerima kecaman dan kritikan daripada peminat filem tempatan? Jangan harapkan pujian sebab itu adalah toxic positivity. Tak semua kita buat orang akan suka kan?
Antara masalah utama dalam penghasilan filem di negara kita adalah kekangan bajet. Poklip tidak merasakan bakat tempatan kita kecil. Kita mempunyai pasukan yang hebat tetapi bukan dari segi bajet.
Bayangkan, dengan bajet mungkin sekitar RM2juta, kita mengharapkan filem itu dihasilkan sehebat karya Hollywood yang kita sedia maklum boleh mencecah ratusan juta. Malah, filem Korea Selatan juga sama nilainya.
Tak silap Poklip, bajet untuk menghasilkan drama Korea yang menjadi kegilaan ramai pun boleh mencecah jutaan ringgit untuk satu episod apatah lagi jika mahu menghasil filem kaiju atau raksasa.
Sebab itu Poklip cakap, bukan tidak boleh tetapi kena tengok akaun bank dan tentukan sama ada berbaloi atau tidak. Kita boleh puji semangat, idea dan usaha untuk memertabatkan filem tempatan, tetapi jika hasilnya begitu, akhirnya flop juga.
Dan Abu Si Raksasa bukan ‘mangsa’ pertama. Sebelum ini, banyak sudah filem antaranya Sumpahan Jurenei, Kron dan XX-Ray 3 mendapat ‘kejian’ kejam daripada warganet kerana kegagalan CGI.
Betul ada yang suka membandingkan filem kita dengan karya luar. Siap ada yang cakap, industri perfileman kita ketinggalan 20 tahun. Tetapi adakah nilai dana dan bajet kita sehebat filem luar?
Poklip tak mahu ulang apa yang diulaskan sebelum ini tetapi kita kena sedar, pihak yang memberi dana tidak yakin dengan produksi filem kita. Kita bukan tidak ada filem CGI yang hebat.
Merong Mahawangsa, Magika, Cicak-Man dan 29 Februari adalah antara filem awal yang menggunakan CGI. Tetapi kelakarnya, tidak semua nashkah itu berjaya dari segi kutipan. Ironi kan?
Kita mengharapkan filem berbajet besar, penggunaan CGI bertaraf Hollywood namun adakah ‘kita’ yang sama sanggup mengeluarkan wang ringgit untuk membeli tiket menyokong industri filem tempatan kita?