Pelakon berpengalaman, Riezman Khuzaimi suatu masa dulu sinonim sebagai wajah yang sering muncul dalam drama televisyen.
Namun kebelakangan ini agak jarang penonton melihat lakonannya di platform tersebut. Jika ada pun, tidak sekerap dulu.
Riezman, pada tayangan perdana filem Tembuni Berdarah baru-baru menjelaskan asbab di sebalik perkara itu.
Adakah dia sudah bosan dengan permainan industri seni? Adakah dia mempunyai perancangan lebih besar? Atau sebenarnya dia lelah kudrat meneruskan kerjaya? Riezman jawablah!
Kenapa Riezman kebelakangan ini jarang muncul dalam drama TV?
Saya sudah lama tidak berlakon drama televisyen dan kalau boleh, saya memang mahu kurangkan.Dalam satu tahun, mungkin hanya satu dua tawaran yang akan saya terima. Bergantung kepada watak dan jalan cerita.
Sekarang ini pun saya lebih banyak berlakon filem. Kalau mahu tengok lakonan saya, boleh tonton di panggung wayang.
Boleh Riezman jelaskan sebabnya?
Satu, kerana watak yang tidak mencabar. Pada masa sama, maaf cakap, jalan cerita kebanyakan drama televisyen, berulang.Saya terpaksa tolak cara baik kalau diminta berlakon drama yang jalan cerita sama, contoh cerita korporat seperti Megah Holding dan seumpamanya.Saya memang kejarkan watak yang mencabar. Sebelum ini pernah jadi komando dan sebagainya. Selepas ini ada lagi beberapa filem membabitkan saya yang menunggu masa untuk ditayangkan. Kebanyakan watak berlainan yang saya lakonkan.
Tidak risaukah kalau disebabkan pendekatan ini, Riezman disalah anggap sebagai riak?
Bukan mahu riak atau apa. Sebagai individu yang sudah berlakon lebih 30 tahun, saya muak berlakon jalan cerita yang sama.Tidak mengapalah saya sedikit selektif memilih tawaran berlakon drama. Seperti tawaran untuk drama Setia Itu Mahal. Saya terima kerana watak berlainan. Tidak mengapalah watak pembantu sekalipun, asalkan memberi impak dan tidak berulang.
Tidak khuatirkah pendapatan terjejas kerana menolak tawaran berlakon drama?
Bidang lakonan ini bukan lagi menjadi sumber pendapatan utama saya. Saya berlakon sekarang ini pun adalah untuk berkarya dan mahu kekal relevan.Saya berpegang kepada pesanan pelakon-pelakon lama yang menyuruh saya menjaga eksklusiviti. Pilih skrip yang betul-betul memberi impak, kurangkan bersosial di tempat awam.
Mengenai filem Tembuni Berdarah, difahamkan, ini pertama kali Riezman bawakan watak ustaz.
Ya, selepas lebih tiga dekad berlakon, ini julung kali saya lakonkan karakter seperti ini,Saya sebenarnya berterima kasih kepada penerbit dan pengarah filem ini kerana memberi kepercayaan kepada saya untuk membawa watak imam yang mana tidak pernah saya lakonkan sebelum ini.Inilah peluang yang saya tunggu, sebuah karakter yang berlainan. Saya gembira kerana pengarah memberi kebebasan untuk saya mencorakkan karakter ini dengan cara saya sendiri.