TAHUN 1992 menyaksikan peristiwa penting tercatat dalam dunia hiburan tanah air apabila Menteri Penerangan ketika itu, Datuk Seri Mohamed Rahmat bertindak memotong rambut dua ikon Rock tanah air, Datuk Awie dan Datuk Amy Search malah kejadian itu dipertontonkan di RTM.
Kerajaan pada waktu tersebut menetapkan mana-mana penggiat seni yang berambut panjang tidak dibenarkan muncul di kaca televisyen mahupun corong radio disebabkan imej tersebut tidak sesuai dipromosikan dalam media arus perdana.
Komposer, penerbit rakaman dan pemuzik, Edrie Hashim, yang ketika itu berusia 19 tahun baru mula bekerja di sebuah studio rakaman di ibu negara.
Anak kelahiran Kuala Lumpur ini menceritakan punca beliau menarik diri daripada sebuah band disebabkan keengganannya memotong rambut.
“Kami, pada masa itu, seperti kebanyakan kumpulan rock lain, tampil dengan imej rambut panjang.
“Namun, pada ketika itu, ramai artis rock terpaksa potong rambut bagi mengelakkan digam stesen TV dan radio.
“Saya pula, kerana sayangkan rambut, enggan memotongnya. Justeru saya keluar daripada kumpulan tersebut,” kongsinya.
“Beberapa tahun kemudian saya kembali ke dunia muzik, kenal ramai penggiat seni, iringi persembahan Ella, Amy Search dan mula terbitkan album untuk beberapa orang artis termasuk kumpulan Candy,” kongsinya.
KUMPUL DUIT SEWA STUDIO
“Saya dan dua beradik lain dibesarkan ibu yang merupakan seorang kakitangan kerajaan. Hidup kami sederhana, tapi tidak pernah rasa kekurangan kasih sayang atau perhatian.”
Demikian perkongsian Edrie mengenai kisah hidupnya satu masa lalu. Menurutnya, ibunya membesarkan mereka dengan bantuan neneknya.
“Kami bukan orang senang, tidak juga susah. Ibu saya bekerja keras di jabatan kerajaan dan pastikan kami cukup makan, cukup pakai, dan dapat pendidikan yang baik,” katanya.
Tambah Edrie, sejak kecil dia sudah dididik untuk berdikari dan tidak pernah membebankan ibunya dengan minat terhadap muzik.
“Kalau hendak praktis muzik, saya kumpul duit belanja sekolah, terpaksa ikat perut untuk bayar RM5 setiap seorang untuk sewa studio,” ujarnya.
Bercerita tentang pengaruh muzik, Edrie memaklumkan beliau mula mengenali muzik ketika berusia 10 tahun menerusi lagu-lagu yang dipopularkan kumpulan Alleycats.
“Kemudian pada 1984, saya mula mengikuti muzik dibawakan Michael Jackson dengan yang pada tahun itu, muncul dengan album Thriller.
“Ketika itu, rakan-rakan saya rancak bercakap mengenai Michael. Boleh dikatakan, beliau juga antara artis antarabangsa yang mempengaruhi minat muzik dalam diri saya pada ketika itu.
“Mengenai rock pula, minat saya terhadap genre muzik itu bermula setelah mengenali kumpulan Kiss. Kemudian saya mula mengenali kumpulan lain seperti Iron Maiden, Dio, Black Sabbath dan ramai lagi.
“Ketika itu saya mendapati muzik rock menjadi genre yang benar-benar sebati dengan jiwa saya,” kongsinya.
HILLARY ANG
Edrie berkongsi kisah bagaimana gitaris legenda, Hillary Ang menjadi antara individu yang pernah memberi inspirasi dalam haluan hidup dan karier seninya.
“Saya masih ingat lagi, masa tingkatan dua baru saya masuk kelas untuk belajar baca nota muzik.
“Saya terinspirasi dengan Hillary yang bertindak tinggalkan Search untuk teruskan pengajian dalam bidang muzik. Saya rasa seperti dapat isyarat, ini jalan yang saya pun patut ikut.
“Ramai orang tidak tahu, Hillary Anglah sebenarnya idola saya dalam dunia muzik. Kalau orang tanya siapa yang jadi inspirasi saya selama ini, jawapannya memang dia,” ujar Edrie.
Keputusan itu ternyata bukan satu kerugian. Hari ini, Edrie bukan sahaja dikenali sebagai pemuzik profesional, malah juga sebagai komposer, penerbit dan jurulatih muzik yang dihormati.
“Kalau Hillary boleh letak ke tepi populariti sekejap untuk ilmu, kenapa tidak saya? Itu ajaran yang saya pegang sampai hari ini,” tambahnya.