Aisha Retno bermula dari kosong - Utusan Malaysia

Aisha Retno bermula dari kosong

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kurang dari satu dekad melakar nama dalam industri muzik, Aisha Retno tidak pernah sangka pencapaiannya sebagai anak seni bergerak pantas meskipun dirinya masih bertatih mencari rentaknya.

Biarpun permulaan kerjayanya hanya dari sebuah pertandingan nyanyian, Aisha seakan tidak percaya usaha keras itu membuahkan hasil setelah lima tahun menjadi seorang penghibur.

Syukur juga adalah kata-kata yang sentiasa terbit dibibirnya bahkan, penyanyi itu tetap merendah diri dan optimis mahu menggali ilmu sebanyak mungkin walaupun dirinya sudah mempunyai ‘tapak’ yang stabil.

“Sudah tentu saya gembira melihat pencapaian saya setakat ini dalam industri. Namun, semua itu tidak cukup sampai di situ sahaja kerana perjalanan dan perjuangan ini harus diteruskan.

“Mungkin orang lihat banyak perkara yang saya sudah capai dalam masa lima tahun ini. Tetapi, dari segi ilmu saya ingin menjadi kosong dalam industri ini untuk terus belajar.

“Kerana setiap kejayaan yang kita miliki itu hanya perlu dinikmati dalam masa yang sekejap sahaja. Dengan semangat ingin tahu itu, dari seorang yang zero saya boleh dapat lebih banyak ilmu baharu,” katanya kepada Pancaindera.

Kata Aisha, dia juga tidak pernah melupakan sokongan mereka yang sentiasa berada di sisinya meskipun perlu melalui fasa keperitan dan kesakitan yang membuatkan dirinya sukar untuk bangkit.

“Saya berasa bersyukur kerana dikelilingi mereka yang sentiasa menjadi tulang belakang saya sepanjang bergelar anak seni ini.

“Pada saya, itulah tunggak asas yang paling penting bagi setiap anak seni kerana tanpa mereka kita hanyalah sebuah produk yang tiada apa-apa.

“Mereka jugalah yang akan menjadi pendorong kita agar lebih bersedia dari segi mental dan fizikal sebelum berjuang di medan perang. Mereka membuat saya sentiasa termotivasi untuk lebih kuat dan matang untuk melewati setiap malapetaka yang menanti,” kongsinya.

Pengkhianatan Terhebat 

Menganggap tahun ini merupakan tahun kebangkitan buat dirinya, penyanyi berusia 25 tahun itu muncul dengan semangat baharu selepas melalui fasa sukar beberapa bulan yang lalu.

Hampir setahun mencari kekuatan diri selepas melalui fasa pengkhianatan terhebat dalam kehidupan, Aisha bukan sahaja ubat kerinduan peminat dengan sebuah showcase, malah bakal melancarkan album fasa kedua.

“Tahun lepas merupakan tahun yang cukup berat untuk saya lalui. Orang kata yang berlalu, biarlah berlalu. Tetapi trauma itu masih berbekas dalam diri saya. Apatah lagi pengkhianatan itu berpunca dari kenalan yang rapat.

“Namun, apa yang saya buat hanyalah tutup mata dan telinga kerana saya masih sayangkan kerjaya saya. Rugilah saya kalau ambil masa terlalu lama untuk bangkit.

“Jadi, apa yang saya lakukan adalah saya nukilkan segala rasa yang saya lalui dalam lagu yang kalian dengar sekarang.

“Orang kata meskipun perlu berkolaborasi dengan komposer lain, air tangan saya perlu ada supaya lebih ‘rasa’. Itu juga ibarat sesi kaunseling untuk diri saya sebagai penulis lagu,” jelasnya.

Ketika diminta kongsikan keadaannya apabila fasa pengkhianatan itu berlaku, Aisha bagai tersentak lalu menitiskan air mata sekali gus melambangkan itu merupakan titik paling rendah dalam hidupnya.

“Alhamdulillah, 11 bulan telah berlalu. Kini saya sudah cukup berani untuk meluahkan apa yang harus diluahkan. Situasi itu membuatkan saya jadi lali dan lebih berhati-hati.

“Tetapi saya bersyukur episod hitam itu juga pembuka rezeki untuk tawaran yang lain. Mungkin ada hikmahnya juga kenapa saya harus berpisah dengan seseorang yang pernah menjadi rakan rapat.

“Apa yang saya boleh katakan, saya hanya percaya pada proses yang saya lalui ketika itu kerana kehidupan ini tidak selalunya indah,” luahnya.

Prinsip kehidupan yang tak akan berubah

Badai telah berlalu, penyanyi lagu Tak Adil itu menganggap fasa yang dilaluinya sebagai pengajaran supaya tidak mudah percayakan seseorang.

Menurut Aisha, setiap kebaikan yang dilakukan haruslah berpada-pada agar tidak memakan diri sendiri di kemudian hari.

“Kita haruslah berbuat baik dengan orang di sekeliling kita. Tetapi, jangan terlalu mudah percayakan seseorang sampai akhirnya kita dipijak dan orang ambil kesempatan terhadap kebaikan yang dilakukan.

“Kadang-kadang kita perlu menjadi seorang yang lebih tegas kerana itulah kelemahan saya sepanjang berada dalam industri.

“Sebelum ini, saya seorang yang terlalu baik dan naif. Jadi, itulah prinsip yang saya akan pegang sampai bila-bila,” katanya.

Pada masa sama, Aisha turut menganggap ketenangan merupakan jalan terbaik untuk dirinya bertindak dengan waras tatkala melalui fasa sukar.

“Saya rasa kita kena ada pemikiran untuk tidak mudah melatah ketika berdepan dengan situasi tertentu. Ini kerana semua dapat dijalankan dengan baik apabila kita mulakan segalanya dengan ketenangan.

“Bila tenang, baru kita boleh berfikiran waras dan bertindak mengikut emosi. Sebagai manusia, saya juga tidak lari dari rasa baran itu. Tetapi memberontak itu tidak menjadikan sesuatu keadaan itu lebih baik.

“Walaupun masih jauh lagi untuk anggap diri saya matang, tetapi cara saya berdepan dengan situasi itu atau jika saya mudah melatah, perkara itu akan memakan diri saya semula.

“Dan, pada saya dengan ketenangan yang kita miliki membuatkan kita lebih dekat dengan Allah. Kerana setiap yang berlaku itu hanya Allah sahaja yang mempunyai jawapannya,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN