SAYA masih sangat muda ketika itu,’
Pelakon meningkat naik, Siti Hariesa tidak pernah mendedahkan sisi peribadinya. Semuanya serba serbi rahsia bahkan di media sosial hanya ditunjukkan paparan adegan lakonan, poster drama, promosi produk, atau sesekali wajah rakan pelakon terdekat.
Gadis asal Segamat, Johor itu bagai sudah membina tembok antara dunia popular serba gemerlapan dengan kehidupan peribadi yang hanya ingin ketenangan.
Beberapa tahun belakangan ini, Hariesa sudah memberi banyak alasan untuk namanya diingati baik sebagai Ainul dalam Utusan Buat Adam, Seira dalam Perempuan Itu atau Suzie dalam Lambaian Huda.
Perlahan-lahan kita melupakan kontroversi besar trailer drama panas bersama Zul Ariffin tiga tahun lalu yang mencalar juga menaikkan namanya.
Kali pertama Hariesa atau Siti Hariesa Muhammad Hanafi, 27, membuka mulut tentang keluarganya adalah menerusi sebuah rancangan audio siar (yang juga jarang dilakukan Hariesa) mendedahkan ibunya sudah meninggal dunia akibat masalah jantung empat tahun lalu.
Arwah ibu yang menjadi tulang belakangnya selama ini tidak sempat menyaksikan namanya sudah menjadi perhatian hari ini.
Wajarlah sebelum ini, Hariesa pernah berkongsi bahawa dirinya tidak biasa membeli dan memiliki barangan mewah kerana ada keluarga dan adik yang masih memerlukan sokongan kewangannya.
Lebih mengejutkan, gadis berwajah teduh ini mendedahkan mahu menamatkan zaman bujang. Bila pula dia bercinta? Itu pun masih menjadi teka-teki.
Bukan tidak cuba-cuba menggali identiti lelaki itu, tapi kami menghormati permintaan gadis ini untuk tetap mengunci mulut gerangan jejaka bertuah itu.
Cuma menurut Hariesa, dia memang di fasa bahagia setelah melalui perhubungan serba toksik bersama seorang jejaka di usia muda.
“Saya fikir hubungan saya dengan si dia (bekas kekasih) sangat toksik memandangkan dia seorang yang suka mengawal apa yang saya lakukan. Memang tidak sampai ‘naik tangan’ tapi kata-kata juga melukakan.
“Ada keadaan, kita hargai jika pasangan bertanya bagaimana hari kita, apa yang kita lakukan, tapi bukan tiba-tiba mengongkong.
“Tidak dinafikan fasa itu melelahkan, mungkin saya juga terlalu muda ketika itu tidak matang lagi dalam menilai cinta. Kemudian saya tersedar dan tekad mengakhiri perhubungan itu. Tidak perlu berlama-lama. Cukuplah setahun jalani ‘cinta’ yang begitu,” katanya selepas temu ramah eksklusif bersama Pancaindera, baru-baru ini.
Menurut pelakon filem Misteri Fraser 1910, tiada hal baik yang boleh ditawarkan oleh seorang lelaki yang berperangai baran. Menjalani hari-hari sebagai pelakon sudah melelahkan, dia hanya mahu bersama dengan seorang lelaki yang bagai rumah, memberinya tempatnya berehat dari bermacam perasaan dan keadaan.
“Menjiwai karakter lakonan tidak mudah, kita akan penat di set penggambaran. Saya tidak boleh bayangkan keadaan bila pulang kerja perlu bergaduh lagi dengan lelaki yang baran.
“Saya tiada ‘kuasa’ (tenaga) melayani keadaan itu. Saya fikir lelaki baran adalah ‘red flag’ (lelaki bermasalah).
“Selain baran, lelaki yang akan saya jauhi untuk dijadikan calon suami adalah mereka yang tidak menjaga kebersihan. Saya faham ada orang yang jenis tidak suka mandi. Walaupun begitu, dia kena nampak rapi,” jelasnya.
Menjadi perempuan tabah juga anugerah
Saya sengaja memancing Siti Hariesa, tidak lesukah membawa karakter perempuan yang jika bukan penyondol, mesti perempuan teraniaya ditemani air mata? Dia ketawa.
Tapi graduan Management and Science University (MSU) itu memberi persepsi berbeza. Kata Hariesa, dalam cerita, dia menyampaikan cerita perempuan lain. Kesakitan dan air mata yang dialami mereka adalah kejadian nyata.
“Tidak dinafikan ada karakter begitu berat, penuh emosi dan air mata. Kadangkala saya terbawa-bawa juga. Pulang ke rumah saya akan menangis. Tapi saya cuba kawal dengan menjalani kehidupan sebagai ‘Hariesa’ dan bukannya karakter yang saya bawa.
“Saya faham soalan itu, contoh dalam Lambaian Huda baru-baru ini saya membawakan karakter pelacur. Tapi karakter itu bukan tentang perempuan malam, tapi perjalanan dan perjuangannya layak diceritakan di layar. Perkataan ‘kuat’ bukan dengan fizikal.
“Pada saya bila orang kata watak perempuan kena ‘kuat’, sebenarnya itu yang kita buat. Kuat juga dapat dilihat menerusi karakter apabila perempuan itu bangkit dari kisah lalu, ada iman, keyakinan dan tekad.
“Itu juga sebuah kekuatan. Bersabar dengan ujian dilalui. Itu juga kekuatan. Itu semua ciri-ciri perempuan yang kuat,” katanya.
Tambah Hariesa, sejak membawakan karakter perempuan penuh air mata, dia kerap menerima mesej mengucapkan terima kasih daripada wanita yang berasa diri mereka diwakili.
Tidak hairanlah apabila video potongan babak memaparkan dia menangis semasa menerima nasihat daripada seorang ustazah menjadi tular. Penonton rasa apa cuba dibawakannya.
Pangkah lelaki miang
Bercakap mengenai asam garam menjadi artis muda dan jelita, tentu sahaja Hariesa pernah sahaja didekati lelaki miang terutama di media sosial.
“Bagi gadis itu, jika ada individu mencari perempuan untuk ditaja (sugar baby) dia bukan orangnya. Dia cukup berdikari untuk menyara diri sendiri.
“Bila tengok profil pun tahu, kadang-kadang mereka ini ‘scammer’ sahaja. Mungkin ada artis yang tertarik dengan tawaran sebegitu, mana tahu mereka perlukan duit. Entahlah, saya tidak ambil pusing. Biarlah, itu kehidupan mereka.
“Cuma jika ada perempuan tidak selesa berhadapan situasi yang boleh dianggap gangguan seksual. Saya harap mereka akan berani tampil membela diri. Jangan takut buat laporan polis jika keadaan keterlaluan.
“Tapi bila banyak kes melibatkan gangguan seksual berlaku, saya berharap sudah masanya untuk lelaki pun tampil bersuara. Perlu ada kesedaran sesama lelaki sendiri untuk haramkan gangguan seksual termasuk ‘catcalling’.
“Tak faham dengan sikap lelaki yang biadab dengan wanita, cuba bayangkan kalau orang buat dekat ibu mereka begitu? Mahukah?,” katanya.
Malah sebelum mengakhiri temu ramah, Hariesa turut menitip pesan kepada para wanita tidak terburu-buru mendekati lelaki untuk mendapatkan cinta.
“Jika ada lelaki yang mahu mendekati. Berkawan sahaja dulu. Perlahan-lahan sahaja kenali hati budi. Jangan terus terima. Kita tidak perlu tergesa-gesa,” tambahnya.