Bagaimana jika artis sendiri buli artis? - Utusan Malaysia

Bagaimana jika artis sendiri buli artis?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KITA baru-baru ini didedahkan dengan beberapa kejadian buli siber melibatkan rakan artis dan selebriti kita. Uyaina Arshad, Riena Diana dan Che Puan Sarimah Ibrahim lantang menegur segelintir warganet yang membuli di siber.

Poklip sebenarnya tidak tahu dan hadam apa ganjaran yang para pembuli ini terima. Terutama selepas dengan lantang mengundang kebencian menerusi kata-kata, ciapan atau perkongsian pengalaman.

Rasanya Poklip dan kita semua faham, rasa suka terhadap kita itu tidak dapat dimiliki sepenuhnya. Dalam 10 orang, pasti sekurangnya ada 1 orang yang tidak berkenan dengan cara atau peribadi kita.

Itu Poklip terima. Sedangkan kita yang biasa ini pun ada haters, apatah lagi para artis dan selebriti.Jadi tidak terkejut pun jika ada pihak sengaja undang dan sebar kebencian, walaupun tidak tahu apa motifnya.

Walaupun ada benar frasa, jadi artis kena kental tetapi kita perlu tahu, artis, selebriti juga manusia. Mereka macam kita ada hati dan perasaan walaupun hidup dalam dunia glamor serta sensasi.

Tidak adil untuk sengaja undang kebencian hanya atas alasan ‘aku tak suka tengok dia.’ Dia pun belum tentu suka tengok awak kan? Dari segi cara awak menyebar kebencian, mungkin perlu cermin diri dulu.

Rasanya ketika ini, mungkin pelakon Ruhainies antara nama yang sering menerima kecaman. Walaupun dia sudah bertenang dan menjalani kehidupan, ada sahaja puak-puak yang tidak suka.

Ada pula netizen yang suka masuk campur dan 24/7 mengabdikan diri untuk kisah rumah tangga orang lain. Team bekas isteri, team suami, kutuk isteri baharu. Kalian memang tidak ada kehidupan sendiri kah? Bosan sangatkah?

Tetapi, dalam pada masa sama, artis dan selebriti juga punya tanggungjawab untuk membina tembok privasi serta peribadi sendiri. Janganlah anggap semuanya akan manis jika yang dikongsi di media sosial juga mengundang kecaman.

Bukan anda tidak tahu, malah ada yang sengaja dikongsi untuk bikin kontroversi. Tetapi bila kena kecam, sindir mulalah main tiket saya juga manusia, ada hati bukan batu. Maka, mulalah perdebatan maya.

Poklip pun pelik, bukan semua tetapi ada yang sengaja mencuit emosi warganet. Bagi mereka, mungkin nama makin sendu jadi perlu panaskan. Namun bila salah cara, mulalah bingit memekak soal buli.

Cuma kita faham jika ada warganet berperangai begitu, tetapi bagaimana pula jika artis sendiri yang membuka ruang sindirian dan kebencian? Di ketika ramai rakan selebriti bersuara tentang buli siber, alih-alih pemain industri sendiri yang buli.

Poklip tidak pasti apa niat seorang pelakon ini membuat ciapan berkaitan isu seorang pereka dan adiknya, tetapi tidak perlu mengaitkan elemen persahabatan sesiapa. Kalau baca komen, penuh dengan kebencian terhadap seorang aktres lain.

Apakah itu ‘dihalalkan?’ Adakah itu dikira tidak mengapa kerana dia seorang artis. Apa kena mengena aktres itu dengan isu tersebut? Apa tindakan yang boleh dilakukan? Adakah itu dikira mengajak kepada pembulian?

Maka adakah aktres tersebut boleh mengambil tindakan undang-undang sama seperti yang mahu dilakukan Uyaina dan Riena? Apa pendapat anda?

Isu buli seperti ini tidak seharusnya berlaku. Benar, anda mempunyai pendapat sendiri. Dan anda juga berhak untuk meluahkannya di ruangan peribadi. Tetapi tidak perlu unsur mengajak membuli.

Bila ada pihak nak ambil tindakan, pandai pula menyorok? Jadi janganlah hendak berani sekadar di atas papan kekunci sahaja ya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN