Tenang dimarahi di set penggambaran - Utusan Malaysia

Tenang dimarahi di set penggambaran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PELAKON, Zulkifli Ismail tidak pernah menyangka pengarah, Adman Md. Salleh memberi kepercayaan kepada beliau untuk membawakan watak hero dalam drama Basikalku yang ditayangkan pada 1986.

Masakan tidak, pada ketika itu, Zulkifli hanyalah pendatang baharu yang tidak mempunyai pengalaman dalam bidang lakonan.

Dan apabila diberi tanggungjawab menggalas peranan utama, tentunya banyak yang bermain dalam fikiran Zulkifli Ketika itu.

“Sebelum bergelar pelakon, saya selalu menonton teater dan dari situlah saya mengenali ramai penggiat seni antaranya pelakon Nasir Ali. Beliau mencadangkan saya hadir ke sesi uji bakat yang dikelolakan Adman di Jalan Riong, Bangsar kerana tahu saya minat berlakon.

“Saya gagal dalam uji bakat itu. Tetapi Adman memaklumkan saya berbakat, cuma merasakan saya wajar mencuba peranan utama. Justeru beliau meminta saya tidak memotong rambut, tinggalkan nombor telefon dan tunggu panggilan seterusnya. Ketika itu saya anggap apa yang dikatakan Adman itu mungkin satu penolakan darinya.

“Tidak lama kemudian saya menerima pelawaan ke TV3. Saya terkejut apabila dimaklumkan terpilih memegang peranan utama drama pertama terbitan stesen TV tersebut iaitu Basikalku yang mengisi slot Cerekarama.

“Adman selaku pengarah drama tersebut memaklumkan pihak produksi mencari muka-muka baharu untuk diketengahkan. Turut membintangi Basikalku adalah Allahyarham Faridah Abdullah, Sani Sudin, Allahyarham Nasir Ali dan Allahyarham Yusof Akib,” kongsinya.

Bakat lakonan tidak menjanjikan jalan mudah kepada Zulkifli untuk menggalas peranan penting dalam drama berkenaan.

Beliau melalui pelbagai cabaran, proses sama yang dilalui semua pelakon baharu yang tiada pengalaman berlakon baik dalam filem mahupun drama.

“Adman pengarah yang garang. Saya beberapa kali dimarahi di set penggambaran kerana gagal memberikan lakonan yang beliau inginkan.

“Tapi saya tidak pernah berkecil hati, cuma perkataan ‘maaf’ yang terpacul dari mulut saya apabila menerima jeritan pengarah di hadapan pelakon lain dan kru penggambaran.

“Saya anggap itu proses pembelajaran, malah bersyukur kerana permulaan saya dalam bidang ini dibimbing pengarah yang tegas seperti Adman. Sutradara seperti ini membentuk pelakon yang baik,” jelasnya.

DAMBA KASIH IBU AYAH

ZULKIFLI merupakan anak jati Kedah yang membesar dibawah jagaan neneknya. Pengalaman membesar beliau berbeza dengan kanak-kanak lain disebabkan perceraian ibu bapanya yang berlaku sebelum beliau dilahirkan.

“Pada awalnya, saya dibesarkan dalam jagaan emak, datuk dan nenek. Namun ibu berkahwin lain mengikut suami berpindah ketika saya berusia lapan tahun. Sejak itu saya diletakkan di bawah jagaan nenek.

“Ketika kecil, saya selalu merasakan saya ini kurang kasih sayang dan adakalanya sedikit cemburu melihat kebahagiaan kanak-kanak lain bersama ibu bapa mereka.

“Pada usia 13 tahun, saya mengalami patah tangan akibat terjatuh. Masa itu saya benar-benar inginkan ibu berada di sisi saya.

“Saya mula menerima keadaan itu apabila meningkat dewasa. Ketika fikiran semakin matang barulah saya mulai faham situasi saya yang tidak mendapat kasih sayang penuh dari ibu ayah,” kongsinya.

Ketika remaja seusianya menikmati zaman muda dengan hiburan dan keseronokan, Zulkifli memilih jalan hidup berlainan dengan menyibukkan diri aktiviti berpersatuan.

Malah beliau pernah dilantik menjadi penolong setiausaha bagi persatuan belia yang ditubuhkan bersama beberapa orang rakan yang ketika itu lebih berusia darinya.

“Saya minat membaca dan menulis. Disebabkan tidak mampu membeli buku, saya banyak menghabiskan masa di perpustakaan.

“Minat terhadap penulisan pula semakin bercambah dan ketika usia 15 tahun saya sudah menulis puisi untuk diterbitkan dalam akhbar Utusan Melayu.

“Selepas menamatkan pembelajaran di tingkatan lima, saya dan beberapa rakan menubuhkan persatuan belia dan menganjurkan pelbagai aktiviti dibawah persatuan. Minat itu mungkin saya warisi daripada ayah saya yang bergelar usahawan dan ahli politik,” ujarnya.

INSIDEN KAPAL KOREK TERBALIK 1984

BAPA dua cahaya mata ini pernah berkhidmat sebagai wartawan di akhbar Utusan Malaysia sebelum beliau bertukar kepada bidang lakonan.

Meskipun hanya bertugas selama satu tahun, beliau sempat mengumpulkan pelbagai pengalaman menarik antaranya melaporkan tragedi kapal korek terbalik yang berlaku di Puchong, Selangor pada 1984.

“Kami menerima maklumat mengenai insiden itu sekitar Waktu petang pada 8 Ogos 1984. Ketika itu saya antara wartawan yang dikerahkan untuk melaporkan dari tempat kejadian.

“Wartawan pada Waktu itu terpaksa berkampung di lokasi kejadian bagi melaporkan penemuan setiap mayat yang dijumpai. Waktu itu memang menyayat hati menyaksikan keadaan ahli keluarga yang kehilangan orang tersayang.

“Antara yang terkorban adalah bapa kepada pengacara dan selebriti, Jimmy Shanley. Saya masih ingat ketika melihat isteri arwah hadir ke lokasi kejadian sambil mendukung Jimmy yang ketika itu masih kecil,” kongsinya.

LAKONAN MENCABAR

ZULKIFLI maklum akan cabaran yang bakal dihadapinya apabila menerima pelawaan membawakan watak Zahid, seorang lelaki yang menyamar sebagai wanita dalam drama Pengasuh sekitar era 80-an.

Beliau juga tidak menafikan watak tersebut, yang memerlukannya berpakaian wanita adalah karakter yang paling menguji kebolehannya sebagai pelakon.

“Saya tak nafikan watak itu antara yang paling susah untuk saya. Ia kerana saya kena memakai rambut palsu, bersolek dan berpakaian wanita.

“Bahkan, ketika sesi casting, saya terpaksa ‘mengepit’ suara untuk meyakinkan pengarah saya boleh menghidupkan karakter Zahidah itu.

“Tambah mencabar ketika penggambaran dilakukan di kawasan terbuka. Waktu itu saya tak tahu macam mana nak masuk tandas awam dalam keadaan saya yang memakai pakaian dan bersolek macam perempuan. Mahu atau tidak, saya terpaksa pergi ke tandas di pejabat produksi semata-mata untuk kencing,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN