Dahlia Syazwan tinggalkan dunia seni? - Utusan Malaysia

Dahlia Syazwan tinggalkan dunia seni?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ADA sebelum ini yang membuat telahan mengenai personaliti televisyen, Dahlia Syazwan sudah meninggalkan dunia pengacaraan lebih-lebih lagi selepas mengumumkan pengunduran selaku hos program Hlive pada April 2023.

Tidak kurang juga yang mengaitkan keputusannya itu diambil personaliti yang pernah terkenal dengan julukan ‘Gadis Trivago’ ini dengan perubahannya penampilannya sekarang yang mengenakan hijab.

Nyata sangkaan itu meleset apabila Dahlia Syazwan Mohd. Amin, selepas berehat sementara, kembali ke dunia pengacaraan menerusi program Borak SeeNi di saluran Astro Prima.

Namun hala tuju kerjaya hos berusia 37 tahun ini tampak berbeza seiring istiqamahnya dia dalam memperbaiki diri ke arah menjadi wanita Muslim yang lebih baik.

Ramai mengagumi Dahlia kerana konsisten menjaga aurat selepas berhijrah. Mana datangnya kekuatan untuk istiqamah?

Penghijrahan ini berlaku selepas saya pulang mengerjakan umrah sekitar tujuh tahun lalu.

Tapi, saya bukan manusia sempurna. Sedar atau tidak, setiap hari akan buat kesilapan.

Cuma, selepas berhijrah, saya tidak pernah berhenti menimba ilmu, sentiasa konsisten dengan banyak menonton ceramah atau program agama.

Selain doa, mungkin perkara itu yang membantu saya untuk istiqamah. Alhamdulillah.

Bagaimana penerimaan orang sekeliling terhadap perubahan Dahlia?

Ramai menghormati dan memahami diri saya yang sekarang. Contoh, kalau bekerja dengan stylist lelaki, dengan sendirinya mereka akan maklum tak boleh ada sentuhan jika menguruskan penampilan saya.

Ibaratnya orang sekeliling faham yang boleh dan tak boleh tentang saya selepas saya berhijrah.

Saya gembira kerana Allah permudahkan semua ini. Kalau kita tidak putus berdoa, Allah akan bagi apa yang kita hajatkan.

Selepas berhijrah apa yang Dahlia fahami mengenai menjaga aurat dan batas pergaulan?

Sebagai orang Islam, memang akan terjentik, kalau tak banyak pun, mungkin sedikit rasa bersalah jika kita tak jaga perkara itu.

Selepas berhijrah, saya mahu betul-betul menjaga banyak perkara termasuklah aurat dan batas pergaulan.

Contoh, selepas berhijab, kalau boleh saya mahu tentukan sendiri penampilan saya dalam mengacarakan sesebuah rancangan.

Hal ini kerana mungkin pada pandangan orang lain, pakaian yang mereka sediakan untuk saya itu tak ketat padahal pada saya, ketat.

Dulu dikenali menerusi program Hiburan, adakah sekarang Dahlia lebih selektif menerima tawaran pengacaraan?

Saya sebenarnya rindu dunia pengacaraan dan kerana itulah saya terima tawaran mengendalikan program Borak SeeNi.

Saya belajar banyak perkara menerusi rancangan ini dan berjumpa ramai orang dengan latar belakang berlainan.

Inilah jenis program yang saya mahu acarakan sekarang. Kalau hiburan mungkin tidak lagi.

Sebelum muncul dalam Borak SeeNi, saya berehat seketika daripada dunia penyiaran. Hal itu membuatkan ramai yang beranggapan saya sudah bersara.

Hakikatnya tidak. Dalam tempoh berehat sebelum ini saya masih terima jemputan sebagai tetamu program televisyen dan pada masa sama mengacarakan program anjuran klien saya.

Pandangan Dahlia mengenai penggiat yang meninggalkan dunia seni kerana berhijrah?

Sebenarnya tak adil untuk kita hakimi pilihan dan keputusan orang lain. Saya tak nafikan memang ada yang berpersepsi kononnya dunia seni mungkin bukan tempat untuk mereka yang berhijrah.

Hakikatnya, kanvas dunia seni ini dicorakkan penggiatnya. Kalau ramai penggiat seni dalam kalangan yang baik-baik, maka murnilah industri itu.

Kita semua ada tanggungjawab untuk tunjukkan teladan yang baik. Industri seni adalah periuk nasi ramai orang. Cuma orang-orang didalamnya yang menentukan baik buruk industri itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN