Hampir dua dekad mencipta nama dalam industri seni tanah air, semestinya pencapaian itu bukanlah perjalanan yang mudah buat pelakon tinggi lampai, Sasqia Dahuri.
Pernah dihalang untuk menjadi seorang pelakon, kehadiran Sasqia mewarnai persada seni dengan penuh tekad diiringi janji yang telah dipateri bersama bapanya, Datuk Ahmad Dahuri.
Sasqia atau Nurlisasqia Ahmad Dahuri berkata, untuk meyakinkan bapanya agar membenarkan dirinya menceburi dunia ‘glamor’ ini tidak mudah.
Namun, pada akhirnya dirinya berjaya melunturkan ketegasan itu dengan berjanji untuk menjaga nama dan hubungan baik sepanjang bergelar anak seni.
“Sebelum saya mula berlakon, ayah saya tidak benarkan. Ketika itu saya sedang belajar dalam bidang pemasaran dan pengurusan. Dia tidak pernah terfikir saya akan tukar angin ke bidang lakonan.
“Saya cuba yakinkan dia bahawa lakonan bukan sekadar glamor semata. Bidang ini sangat besar dan banyak peluangnya. Saya janji dengan dia yang saya nak masuk kerana minat.
“Di samping itu, saya mahu membina hubungan yang baik dengan mereka yang berada dalam dunia hiburan. Pada saya, inilah bidang yang paling senang untuk berkomunikasi dengan ramai orang,” katanya kepada Pancaindera.
Kini, kedudukan Sasqia sebagai seorang pelakon tetap stabil malah, dirinya juga bersih daripada sebarang kontroversi biarpun sudah 17 tahun menjadi penyeri industri.
Tegas aktres itu, penglibatannya dalam industri kerana minat, janjinya kepada bapa turut di pegang sampai mati. Jadi, kontroversi bukanlah jalan pintas buatnya untuk terus kekal popular.
“Tidak perlu cipta kontroversi untuk popular. Datuk Seri Siti Nurhaliza pun kurang kontroversinya tapi masih kekal dalam industri malah makin popular.
“Ada ramai juga penggiat seni yang namanya bersih dari sebarang gosip, menjalani kehidupan secara privasi tetap berjaya. Semua itu atas pilihan sendiri.
“Saya memilih untuk tidak cetuskan sebarang kontroversi untuk demi janji yang telah terpatri bersama ayah saya. Walaupun sekarang saya perlu mulakan semula kerjaya saya dari bawah, saya tetap tidak perlukan kontroversi itu kerana netizen pun sudah pandai menilai,” jelasnya.
KENAPA SAYA PERLU DUDUK SAJA?
Pernah nekad untuk berehat dari industri seni lakonan, Sasqia mengakui keputusan itu membuat dirinya kesal kerana terlalu selesa. Mana tidaknya, sebelum ini dia sibuk mencipta nama, jadi, duduk sahaja dan ‘goyang kaki’ bukanlah pilihan tepat buatnya.
Meskipun seronok menjalani kehidupan seperti orang biasa di Kota Singa sejak beberapa tahun lalu, aktres berusia 40 tahun itu mengakui hatinya tetap rindu untuk kembali muncul di kaca televisyen.
“Sewaktu saya berpindah ke Singapura, saya nekad untuk berhenti berlakon dan menjalani kehidupan seperti orang biasa di sana. Punca saya menetap di sana pun kerana terkandas sewaktu pulang ke pangkuan suami ketika PKP.
“Pada awalnya, saya cuba berniaga. Saya buka kedai makan yang menjual makanan Pantai Timur seperti Laksam dan Nasi Kerabu. Namun, perniagaan itu tidak bertahan lama atas beberapa faktor.
“Apabila terlalu lama tidak bekerja, timbul persoalan kenapa saya perlu duduk saja? Saya sudah ada tapak yang stabil dalam industri lakonan, kenapa perlu saya sia-siakannya?” kongsinya.
Kemunculan semula dirinya dalam industri kali ini dibawa bersama semangat adiknya yang mengalami masalah penglihatan sekali gus menjadi inspirasi dalam hidupnya.
Tambah pelakon filem Misteri Dilaila itu, dia berasa rugi jika tidak menggunakan peluang yang ada sebaiknya sedangkan nikmat itu masih terbentang luas untuknya supaya terus bekerja.
“Apa yang menjadi inspirasi untuk diri saya adalah adik saya. Dia bekerja di sebuah syarikat ternama dan peranannya amat besar di situ. Dia separa buta akibat katarak glaukoma.
“Dia sudah pakai tongkat. Sebelah matanya sudah buta sepenuhnya, sebelah lagi kabur. Dalam keadaan macam itu pun dia masih boleh bekerja. Walaupun dia adik, itulah inspirasi saya.
“Bila saya mahu merungut, saya terlalu terbayangkan dia. Dia nak makan nasi pun perlu raba. Inikan pula saya yang masih buat semuanya dengan mudah. Lama-lama bila saya tengok dia, saya jadi malu sendiri. Saya rasa saya perlu buat lebih lagi,” jelasnya.
LAWAN RASA MALAS
Kini, Sasqia sudah mula melebarkan sayap lakonannya di Kota Singa. Namun, perkara itu bukanlah peluang untuk dirinya bersikap tamak meskipun ‘demand’ itu masih ada.
Menurut Sasqia, dia pernah menolak tawaran lakonan daripada produksi Malaysia, bukan kerana dirinya semakin selektif tetapi komitmen masa terbatas dengan jadual kerja di sana.
“Saya baru sahaja memulakan kerjaya lakonan saya bersama Mediacorp pada awal tahun lalu untuk drama bersiri Keranamu Khadijah di Singapura. Di sana cara bekerjanya lebih fleksibel kerana terikat dengan peraturan jumlah jam bekerja.
“Sewaktu menjalani penggambaran di sana, ada juga syarikat produksi di Malaysia beri tawaran lakonan kepada saya. Tapi saya tidak mahu tamak dan terpaksa tolak. Saya perlu tumpukan dahulu komitmen lakonan yang sedang berlangsung pada ketika itu.
“Bukan kerana selektif, saya cuba susun waktu saya sebelum terima tawaran tersebut. Tetapi, jadual kerja saya di Singapura tidak selari dengan komitmen yang saya perlu berikan untuk tawaran yang baru itu. Jadi, saya anggap itu bukan rezeki untuk saya,” katanya.
Syukur dirinya masih diterima meskipun pernah hilang seketika, Sasqia memberitahu dirinya tidak kisah untuk bermula dari bawah meskipun sudah berpengalaman.
Namun, aktres itu juga mengakui dirinya kini adalah pencabar terbesar buatnya memandangkan untuk mengekalkan tenaga serta momentum dalam lakonan itu bukanlah suatu perkara yang mudah.
“Cabaran paling besar adalah diri saya sendiri. Saya tidak mahu menyalahkan orang lain kerana ada masa kita malas. Kita tidak betul-betul serius untuk buat pekerjaan yang kita ada. Apabila ‘mood’ itu muncul, susah untuk saya lawan perasaan itu.
“Untuk menjadi seorang pelakon, komitmennya berbeza. Dia bukan sekadar mahukan populariti semata. Dia memerlukan disiplin dan fokus. Kita kena tahu cara untuk kekalkan tenaga kita itu sehingga tugas kita selesai. Tidak mahulah separuh jalan kita sudah lemau.
“Momentum itu perlu selari. Komitmen itu kita sahaja yang boleh kawal. Jika tidak boleh kawal dengan baik, kita akan segan dengan tingkah laku kita sendiri kemudian hari.
“Saya selalu refleks semula diri saya supaya terus dapat kekalkan momentum itu kerana bukan saya seorang sahaja yang penat bekerja. Ada orang yang lebih penat daripada saya terutamanya, pasukan produksi,” ujarnya.