TAK ramai yang mempersoalkan apabila filem Paloh ‘menyapu’ enam anugerah, termasuk Filem Terbaik pada Festival Filem Malaysia ke-17.
Malah rata-rata pengkritik pada ketika itu merasakan filem itu layak mendominasi majlis penganugerahan berprestij itu.
Paloh bukan sahaja menyampaikan cerita yang kuat, malah disokong oleh karakter-karakter yang signifikan.
Dan menjadi nilai tambah apabila filem ini dibarisi pelakon-pelakon yang berkebolehan dan mantap persembahan lakonan mereka.
Selain Ahmad lakonan Namron, Siew Lan (Janet Khoo), Fatimah (Ellie Suriaty Omar), Ariffin Nor (A. Samad Salleh), watak Osman yang dibangunkan Gibran Agi tidak kurang kuatnya.
Bukan mudah menghidupkan Osman seorang yang nasionalis dan fasih berbahasa Mandarin.
Gibran berdepan cabaran besar dalam membawakan watak ini. Bila ditanya, apa kesukaran paling berat baginya untuk menghidupkan Osman, jawabnya menjadi seorang perokok dalam filem.
“Saya bukan perokok. Tapi ada beberapa babak dalam cerita itu yang memerlukan saya hisap rokok jenis gulung.
“Seumur hidup saya memang tak pernah merokok. Dalam keadaan apa sekalipun saya kena kawal asap rokok yang saya sedut supaya tak masuk ke paru-paru saya.
“Dan babak itu saya perlu lakonkan sambil berdialog,” katanya.
Gibran mengakui watak Osman ada cabaran tersendiri, walaupun ada watak yang lebih sukar dibawakannya sebelum itu.
Bagaimanapun, Gibran berdepan cabaran tersendiri untuk benar-benar menghidupkannya.
“Osman ni sebenarnya seorang penulis yang jalan hidupnya tertulis sebagai perisik British. Pada ketika itu, keperluannya adalah untuk menyertai komunis bagi mengumpul maklumat dalaman.
“Bagi saya wataknya tidaklah sukar, cuma ‘tricky’ sedikit kerana ada beberapa babak yang memerlukan saya bercakap Mandarin.
“Sebelum penggambaran bermula, saya ambil lebih satu minggu belajar bahasa Mandarin. Produksi sediakan seorang cikgu untuk membantu saya.
“Cuma sayang kerana agak banyak babak saya bercakap Mandarin dipotong,” jelasnya.
MEWARISI MINAT BAPA
Gibran Agi merupakan anak kepada pelukis dan sasterawan terkenal, Abdul Ghafar Ibrahim yang menjadi pelopor sajak-sajak eksperimental.
Darah seni yang dimilikinya mengalir dari seorang ayah jiwa seninya cukup besar.
“Ayah saya dulu menyertai kumpulan teater Anak Alam. Saya masih ingat dulu dia selalu membawa saya, yang ketika itu masih kecil ke pusat latihan mereka yang sekarang ini dibina Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan.
“Jadi boleh dikatakan, sejak kecil, saya membesar dalam komuniti orang seni, melihat persembahan teater dan menyaksikan lukisan-lukisan ayah kerana dia juga seorang pelukis,” katanya.
Gibran mengikut jejak langkah ayahnya dalam bidang penulisan, pengarahan dan lakonan teater.
Dia, ketika di usia belasan tahun, rancak menyertai pementasan, mengikuti pertandingan teater sekali gus mencipta nama dalam bidang seni.
“Saya mula menulis dan mengarah teater pada tahun 1991. Ketika itu saya menuntut di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
“Antara kenangan manis adalah ketika teater lakonan saya bertajuk Dejavu? menang Teater Terbaik Festival Teater Wilayah Persekutuan.
“Saya juga bernasib baik kerana dinobatkan Pelakon Terbaik mengalahkan Datuk Jalaluddin Hassan yang waktu itu sudah pun mencipta nama,” katanya lagi.
Bakat dimiliki Gibran dihidu pihak TV3 yang pada tahun 1993, menawarkannya peluang menjadi hos program televisyen RSB yang ditayangkan setiap petang Ahad.
“Saya ketika itu yang masih menuntut di UIAM mengalami kejutan budaya.
“Selama lebih satu tahun wajah saya muncul di kaca TV setiap petang Ahad. Perkara itu membuatkan saya dikenali,” ujarnya.
LANDASAN
Drama Landasan, yang dibintangi Erma Fatima dan Rosli Rahman Adam, merupakan antara kerja lakonan yang cukup sentimental buat Gibran.
Katanya, pengalaman berlakon dalam drama itu, dibawah arahan Kamal Ishak, meninggalkan seribu satu kenangan.
“Kamal adalah pengarah istimewa kerana semua naskhah arahannya pasti ada story board yang dilukisnya sendiri.
“Kami banyak kali bekerjasama, namun antara drama yang paling meninggalkan kenangan adalah Landasan.
“Lebih 90 peratus penggambaran drama ini diadakan pada waktu malam dan di landasan keretapi di Tapah. Asalnya lokasi penggambaran dibuat di Pulau Sebang, Melaka namun diubah saat akhir.
“Proses penggambaran memang mencabar. Bayangkan melakukan penggambaran drama berdekatan landasan keretapi. Kami terpaksa menghentikan penggambaran banyak kali kerana gangguan bunyi dan lampu dari keretapi yang melalui landasan itu,” katanya.
Pembikinan drama tersebut mengambil tempoh tiga minggu disebabkan beberapa perkara yang tidak dapat dielakkan.
“Yang melucukan, penggambaran terpaksa direhatkan kerana Kamal mendirikan rumah tangga pada tempoh yang sama.
“Disebabkan itu jugalah drama ini tertangguh seketika,” selorohnya.