Cukup sekali saya terkhilaf - Meerqeen - Utusan Malaysia

Cukup sekali saya terkhilaf – Meerqeen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DRAMA Melur Untuk Firdaus lakonan Meerqeen bersama Anna Jobling mendapat sambutan hangat sehingga tular ke negara jiran seperti Indonesia dan Thailand.

Sejak itu, Meerqeen menanam cita-cita untuk berjaya dalam apa sahaja bidang yang diceburi dan melakar lebih banyak kejayaan dalam bidang seni.

Dia juga mahu dilihat sebagai bakat serba boleh dan tidak menghampakan peminat yang banyak menyokong sejak awal pembabitan.

Kongsinya, dia mengimpikan untuk bekerja dengan lebih banyak pengarah dan pelakon hebat lain.

“Sejujurnya, saya berharap dapat bekerja dengan lebih banyak pengarah dan pelakon hebat lain.
“Bekerja dengan orang hebat mendorong saya berusaha lebih keras untuk berjaya seperti mereka,” katanya.
Merqeen atau nama sebenarnya, Muhammad Shameer Shauqeen Saiful Izam, 21, tidak menyangka drama tersebut memberikan impak sangat besar kepada kerjayanya.

Katanya, ramai yang mula melihat bakat dan memberikan tumpuan terhadap kemunculannya.

“Sejujurnya, saya memang serius sejak memulakan langkah dalam bidang ini.

“Drama sebelum ini juga banyak memperkenalkan nama dan saya bersyukur kehadiran semakin diterima,” katanya.

Rezeki mencurah-curah

Kunjungan Merqeen bersama Anna ke Jakarta, baru-baru ini, membuka pintu rezeki yang luas apabila terpilih sebagai hero drama dalam talian, Modus Operandi.

Katanya, terdapat beberapa lagi tawaran yang diterima dan peluang berlakon di Indonesia membuka banyak dimensi baharu dalam kerjaya seninya.

Dia malah teruja berpeluang bekerja dengan kru produksi baharu di sana.

“Untuk berjaya, kita perlukan langkah pertama dan saya berharap Modus Operandi akan membuka lebih banyak jalan untuk dikenali di Indonesia.

“Sebenarnya, sudah banyak tawaran diterima, cuma pihak pengurusan sedang mempertimbangkannya memandangkan ia perlu diselaraskan dengan jadual saya agar tidak memberi masalah kepada mana-mana pihak,” jelasnya.

Pelakon muda ini percaya semua itu rezeki, memandangkan ketika ini namanya masih belum begitu kukuh di negara sendiri.

“Tiada istilah cepat atau lambat, selagi kita bekerja keras. Semua itu berbalik kepada ketentuan rezeki.
“Untuk berjaya, saya tidak boleh berpuas hati dengan apa yang sudah diperoleh. Masih banyak lagi yang perlu dicapai memandangkan perjalanan saya dalam bidang ini masih jauh.

“Saya tidak mahu terleka dengan kejayaan yang sedikit memandangkan cabaran lebih besar menanti pada masa hadapan,” ujarnya.

Selepas Indonesia, Merqeen mendapat tawaran menjayakan program travelog siaran VIU bersama pelakon, Nadhir Nasar di Korea Selatan.

“Saya baru selesai penggambaran di Seoul bersama Nadhir. Kami membawa budaya Malaysia di sana.
“Kami teruja melihat penerimaan penduduk Korea Selatan ketika memakai baju Melayu untuk melakukan beberapa aktiviti, selain berpeluang mempelajari budaya dari sana,” katanya.

Watak lebih mencabar

itanya sejauh mana kepercayaan pengarah terhadap kemampuannya, jawab Meerqeen, setiap tawaran yang diterima akan dilunaskan dengan serius untuk tidak menghampakan harapan ramai.

“Soal watak sama atau tidak, itu bergantung kepada naskhah. Jika mendapat watak hampir sama, ia sebenarnya memberikan cabaran besar untuk saya mewarnainya supaya tidak klise,” katanya.

Berhubung kesediaan membawakan watak berat, Meerqeen berkata, semua pelakon mahukan peningkatan dalam kerjaya.

Sudah pasti, anak saudara kepada penyanyi terkenal, Safura Yacob ini bersedia menerima cabaran baharu dengan mempelbagai watak yang menguji kewibawaan.

“Sudah pasti saya gembira sekiranya menerima watak berat kerana itu akan memberikan warna baharu dalam portfolio lakonan.

“Alhamdulilah, peluang itu sudah saya terima dan berharap ada tawaran lain yang lebih besar untuk saya buktikan kemampuan sebenar,” katanya.

Pentingkan keluarga

Keluarga adalah hal utama dalam kehidupan dan setiap jadual kerjanya juga dimaklumkan kepada mereka.

Sudah tentu, katanya, keluarga sentiasa mengambil berat dan banyak memberikan nasihat serta teguran ketika berdepan kontroversi.

“Keluarga memberikan sepenuh kepercayaan kepada pengurusan saya dalam menentukan apa yang terbaik dan mereka hanya memantau dari jauh.

“Keluarga tahu jadual kerja saya, tetapi tidak mencampuri memandangkan saya ada pasukan pengurusan sendiri.

“Asalkan tidak mencemarkan nama keluarga, mereka tiada masalah dan menerima baik kehadiran dalam industri,” katanya.

Belajar daripada kesilapan

Mengulas kesediaan digandingkan dengan pelakon lain kerana dilihat selesa mendampingi Anna, Meerqeen berkata, sebagai pelakon dia perlu bersikap profesional dan memberikan yang terbaik kepada keseluruhan produksi.

“Keserasian dengan pelakon gandingan merupakan bonus. Ramai peminat suka dengan gandingan kami dan saya hargai sokongan yang diberikan.

“Begitu juga apabila digandingkan dengan pelakon lain, saya perlu mencari keserasian untuk membangunkan naskhah tersebut,” katanya.

Meerqeen berkata, dia lebih gembira sekiranya kisah tentang lakonan atau kerjaya lebih diberikan tumpuan, berbanding soal hubungan rapat dengan Anna.

Namun, jujurnya, dia memahami landskap dunia hiburan tempatan yang turut terarah kepada hal peribadi.

“Bagi saya, tiada masalah sekiranya tidak berlebihan sehingga memberikan impak kurang baik terhadap kerjaya dan kehidupan peribadi,” katanya.

Menurut Meerqeen, bagi memastikan keseimbangan antara karier dan cerita peribadi, dia perlu terus belajar menjadi pelakon yang hebat.

“Saya perlu memperkasakan lakonan untuk memberikan dimensi baharu kepada penonton. Setidak-tidaknya perkara tersebut dapat mengimbangi kisah peribadi dan kerjaya,” katanya.

Populariti yang meledak turut mengaitkan Meerqeen dengan kontroversi.

Namanya pernah kecoh selepas kejadian mencium dahi pelakon dan pelawak popular Indonesia, Kiky Saputry ketika menjayakan sebuah program hingga mengundang kecaman ramai, Ogos lalu.

Mengambil pendekatan mengunci mulut hampir sebulan sejak kontroversi hangat diperkatakan ramai, Meerqeen menafikan dirinya tidak berani mengambil tanggungjawab terhadap kesalahan itu.

“Semua orang tidak lari daripada melakukan kesalahan. Ada kalanya, saya membuat kesilapan dan perlu sedar serta tidak mengulangi perkara tersebut.

“Soal bertanggungjawab atau tidak bukan isu, memandangkan itu hanya persepsi orang. Asalkan saya menyedari kesilapan dan tidak melakukannya kali kedua, itu sudah cukup.

“Setidak-tidaknya semua perkara kurang manis yang terjadi banyak mematangkan saya untuk menjadi lebih dewasa,” jelasnya. – Pancaindera

 

 

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.