PERTEMUAN eksklusif bersama penghias muka depan Pancaindera kali ini meninggalkan pengajaran
berharga. Kehidupan pelakon, Edika Yusof bercerita sendiri.
Pengalaman menjaga isteri,Norhidayah Yusri yang lumpuh separuh badan gara-gara jangkitan meningitis selepas melahirkan anak kedua, 18 tahun lalu merupakan kisah bernilai tinggi yang
wajar diteladani kaum lelaki, terutama yang bergelar suami.
Saya bertanya kepada Edika, bagaimana boleh menjadi setabah itu? Apa yang dilaluinya bukan mudah. Hanya yang terpilih, berhati kental dan tinggi sabarnya mampu melalui ujian itu.
“Sejak kecil, saya dididik berdikari, diajar masak, cuci baju dan urus diri sendiri. Ceritanya, saya punya seorang adik kelainan upaya. Hidupnya dahulu normal, kemudian berubah sekelip mata
selepas dia dilanggar lari ketika usia 19 tahun.
“Enam bulan terlantar koma, sampaikan kami sekeluarga terpaksa meminta doktor lanjutkan tempoh penggunaan mesin bantuan hayat ketika mereka bercadang untuk menutupnya. Bagi mereka, harapan
adik saya untuk hidup, tipis.
“Kini, adik saya bukan sahaja hidup seperti biasa, malah mampu berjalan sejauh 20 kilometer, meskipun
langkahnya tidak selincah dahulu. Dia adalah bukti nyata tentang harapan. Keyakinan sama saya berikan buat isteri yang dahulunya koma sembilan hari, kini berjuang teruskan hidup meskipun
lumpuh dari bawah dada hingga kaki,” ceritanya.
Bercerita lanjut, kata Edika, ilmu dan pengalaman banyak membantu serta mempersiapkan dia dan isteri dalam mengharungi jalan kehidupan yang sukar.
Katanya, di situ terkumpul kekuataan yang menjadi bekal sehingga hari ini.
“Lebih-lebih lagi ketika berkhidmat sebagai pramugara untuk sebuah syarikatpenerbangan tempatan. Sepanjang tempoh tersebut, saya belajar banyak perkara, cara kendalikan orang sakit, wanita bersalin dan sebagainya.
“Tetapi, paling banyak membantu adalah ilmu daripada kajian sendiri
tentang penyakit ini. Sebaik sahaja saya membawa isteri pulang dari hospital, saya berjanji untuk bantu dia pulih dengan apa cara sekalipun. Kami sama-sama berusaha, mencari penawar untuk dia
sembuh,” kongsinya.
Pengalaman ditempuh pelakon yang popular menerusi filem Maria-Mariana ini tentunya menuntut kesabaran luar biasa.
Perkara itu diakui Edika, menyedari dia juga manusia biasa, punya kelemahan yang perlu disembunyikan demi kekuatan untuk isteri.
“Kehidupan saya bukan drama televisyen. Ini realiti membabitkan isteri yang sakit. Ramai yang memberi
semangat dan dorongan. Tetapi,hakikatnya, hanya saya, isteri dan anak-anak sahaja yang faham keperitan kami.
“Ada yang mencadangkan agar saya berkahwin lagi. Tidak kurang juga yang menganggap pengorbanan saya sia-sia dan menyuruh saya menghantar isteri pulang ke rumah orang tuanya.
“Kata-kata negatif itu saya abaikan. Bukan semua rakan membantu dan membawa kebaikan.
“Mereka tidak lalui apa yang saya lalui. Saya ambil dia (isteri) dalam keadaan sempurna dan dia jadi begitu selepas melahirkan anak-anaksaya. Apa cara sekalipun, saya akan tetap bersamanya,”katanya.
Bermula dari bawah
Keputusan Edika untuk kembali ke dalam dunia lakonan selepas lebih 18 tahun
menghilang tidak dibuat sehari dua. Malah, agak lama dia memikirkan sebelum aktif semula.
Katanya, kepulangannya dalam dunia lakonan bukan perkara mudah, lebih-lebih lagi ketika industri dilambakkan dengan muka baharu yang jauh lebih muda dan berbakat.
“Nak naikkan semula nama Edika Yusof itu bukan senang. Saya bermula semula dari bawah.
Produksi dan pengarah baru ramai yang tidak kenal saya. Jadi, saya terpaksa jelaskan tentang lakonan
saya sebelum ini.
“Saya ada kemahiran dan pengalaman sebagai pelakon, sebab itu saya ambil keputusan
untuk kembali. Tambahan pula, cara kerja sekarang lebih cepat berbanding dahulu.
“Drama sekarang banyak episod, ada yang mencecah sehingga 80. Ada juga untuk pelakon gaji bulanan. Boleh saya tampung keperluan dengan pendapatan tambahan ini,” katanya.
Kata Edika lagi, dia sedar, dengan umur sekarang peluang tidak seluas dahulu kerana adanya persaingan
daripada pelakon baharu.
“Walaupun saya ada kemahiran, watak yang saya terima selalunya sama. Perkara itu boleh membunuh karier lakonan saya.
“Industri kita lebih memberi peluang kepada yang muda. Tidak seperti Hollywood atau Bollywood apabila pelakon lama masih mendapat peluang sama dengan yang baru,” tambahnya.
Kebimbangan melampau dan kerisauan
Edika Yusof bukan robot yang tidak berperasaan. Satu tahap dalam perkongsiannya, dia mengakui tidak sekuat yang disangkakan. Dia juga berdepan tekanan yang akhirnya membawa kepada anxiety.
“Saya sedar me time saya kurang kerana sudah terlalu lama asyik duduk di rumah menjaga
isteri dan anak-anak. Kalau tidak ada kerja di luar, saya akan sentiasa ada di rumah.
“Baru-baru ini, saya alami anxiety yang membuatkan saya berfikir yang bukan-bukan dan takut tinggalkan rumah.
“Keadaan itu menyebabkan saya terlalu berhati-hati ketika memandu. Saya jaga betul-betul
kesihatan dan tidak boleh jatuh sakit. Dalam fikiran, sekarang saya masih ada untuk keluarga, esok lusa kalau saya sudah tiada, apa akan jadi kepada mereka?”luahnya.
Edika juga mengakui, tindakannya yang memendam sendiri semua masalah yang dihadapi, memakan dirinya.
“Tiada orang lain yang boleh saya luahkan. Mak ayah sudah tiada, adik-beradik sibuk dengan kehidupan masing-masing. Saya tidak boleh luahkan kepada isteri kerana tidak mahu tunjukkan saya lemah. Selama
ini, saya banyak pendam perasaan.
“Saya tahu saya tidak boleh terus begini dan kerana itu, saya putuskan untuk berjumpa psikiatris.
Ceritakan masalah kepadanya. Keputusan itu saya ambil, barubaru ini setelah berfikir panjang. Saya tidak mahu memendam lagi, takut nanti saya buat perkara yang tidak betul,” kongsinya.









