Kisah peribadi jadi inspirasi - Utusan Malaysia

Kisah peribadi jadi inspirasi

JOHN Legend.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Selepas dua tahun, bintang R&B, pop dan soul, John Legend tampil dengan buah tangan baharu, album istimewa berjudul Legend.

Album ini merupakan kelapan daripada penyanyi tersebut. Ditampilkan dalam dua album, masing-masing memuatkan 12 lagu yang ditulis sendiri penyanyi itu, namun belum pernah diperdengarkan kepada peminat.

Dalam wawancara bersama media menerusi platform Zoom, baru-baru ini, Legend berkongsi banyak hal tentang album yang disifatkan terlalu istimewa dan sentimental.

Apa yang boleh anda perkatakan tentang Legend?

Saya gembira dengan maklum balas pendengar. Album ini ibarat rahsia yang saya simpan lama yang akhirnya dapat saya kongsikan kepada peminat. Ia melambangkan diri, merangkuman perjalanan hidup, sedih, gembira dan cabaran yang saya lalui.

Lagu mana dalam album ini paling bermakna?

Ada beberapa, contohnya Stardust kerana ia istimewa untuk saya dan isteri. Ia antara lagu terawal yang kami tulis bersama. Lagu ini memulihkan kami selepas berdepan tempoh sukar, beberapa tahun kebelakangan ini. Home juga cukup sentimental kerana saya tulis untuk memberitahu anak-anak bahawa saya dan Crissy sayang dan sentiasa ada untuk mereka.

Album ini menampilkan nama besar arena hip hop dan R&B seperti Rick Ross, Muni Long, Jazmine Sullivan, Jada Kingdom, Jhene Aiko dan ramai lagi. Bagaimana kehadiran mereka memberikan kekuatan?
Saya mengalu-alukan dan saya gembira dengan penglibatan mereka dalam album ini. Setiap mereka membawa tenaga yang menakjubkan dan membuatkan album ini menjadi lebih baik. Masing-masing mempunyai bakat dan kekuatan tersendiri. Itu yang membuatkan album ini lebih istimewa.

Adakah anda gementar menantikan reaksi peminat?
Saya yakin dengan apa yang kami hasilkan. Banyak masa diperuntukan untuk memastikan album ini dibuat sempurna seperti yang saya kehendaki. Saya tidak khuatir tentang muziknya, bagaimanapun saya lebih cenderung untuk mengetahui tentang penerimaan pendengar. Kita tidak tahu lagu mana yang akan menambat hati mereka.

Mungkin ada perancangan lain selepas kemunculan album ini?

Saya mahu menulis lebih banyak lagu pada masa akan datang. Saya tidak mahu berterusan mengeluarkan lagu yang telah ditulis beberapa tahun kebelakangan ini. Saya mahu bergerak ke depan dengan lagu baru.

Bagaimana perancangan untuk mengadakan konsert di Asia?

Belum ada. Tetapi, kami sedang mengusahakan sesuatu dan berharap dapat kembali ke Asia secepat mungkin sekitar tahun depan.Kisah peribadi jadi inspirasi

Bagaimana menjaga kesihatan dan apa pandangan tentang artis yang membatalkan konsert dan persembahan gara-gara masalah kesihatan?

Saya tidak boleh bercakap untuk semua orang. Kesihatan adalah isu yang kadang kala di luar kawalan kita. Saya mendoakan yang terbaik untuk semua artis dan berharap mereka yang berdepan masalah, segera pulih. Ramai penyanyi membuat tindakan betul, berehat untuk tempoh masa tertentu apabila kesihatan mereka terjejas.Bagi saya kesihatan amat penting. Tubuh badan perlu dijaga, lebih-lebih lagi suara. Minum air mencukupi, jauhi rokok dan menjaga waktu tidur serta latihan. Semua ini membantu mengekalkan kualiti vokal saya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×