
APICIUS, pakar gastronomi Roman kurun pertama Masehi menyebut: “Pertama sekali, kita menjamah makanan melalui mata kita”.
Kini, selepas lebih 2,000 tahun berlalu, kata pujangga itu masih relevan terutama dalam konteks liputan ruangan Makan-Makan, Mingguan Malaysia minggu ini.
Tampil megah dengan rona rustic di kawasan berbukit, Hill & Chill Cafe yang terletak di Sungai Merab, Kajang ternyata mencetus fenomena.
Bukan sahaja menunya meraih hampir lima bintang, iaitu markah penuh dalam laman sesawang atas talian, malah suasana kafe itu juga sangat memukau.
DARI IT KE KULINARI
Menurut pemilik yang juga pengurus kafe, Asfanizam Hayon, 47, ilham menubuhkan Hill & Chill Cafe timbul setelah menyedari bahawa jiwanya sangat cenderung berniaga.

“Sebelum ini, saya pakar teknologi maklumat dan pernah berkhidmat dengan beberapa syarikat besar.
“Namun, saya dapati jiwa saya bukan dalam dunia korporat. Maka pada Disember 2019, saya buat keputusan buka restoran ini sambil dibantu ahli keluarga lain,” katanya.
Jelasnya, dia bersyukur dibantu ahli keluarga, yang secara tidak langsung melancarkan operasi kafe itu.
“Kafe ini beroperasi di atas tanah keluarga. Ini jimatkan kos operasi kerana tak perlu bayar sewa, maka saya boleh kontra dengan menawarkan menu pada harga berpatutan,” jelasnya.
PAKAR MASAK SURABAYA
Asfanizam menambah, kekuatan kafe itu terletak pada dua faktor utama.
“Pertama, panorama yang indah. Kafe ini dibina atas bukit dan dikelilingi belukar menghijau. Kalau waktu malam, sambil makan boleh dengar bunyi cengkerik, riang-riang dan unggas berlagu merdu,” katanya.
Faktor lain, ceritanya lagi, kawalan kualiti yang ketat dalam penghasilan menu.
“Di sini kami menawarkan lebih 50 menu fusion Nusantara. Antara paling mendapat sambutan ayam geprek. Sebelum tampil menemui pelanggan, kami lakukan banyak kajian demi mendapatkan resepi ayam geprek paling mengancam,” katanya.
Dalam hal itu, katanya, antara langkahnya termasuk belajar masak resepi itu dari seorang tukang masak Surabaya.
“Hasilnya, kami berjaya buat resepi ayam yang enak. Isinya lembut berjus, namun bahagian luar rangup penuh aroma,” terangnya.
Dia menjelaskan, ayam geprek di kafe itu menggunakan lebih 10 bahan, khususnya rempah ratus Nusantara. Membuatkan ia lebih enak, tepung sadur yang digunakan adalah resepi sendiri dan bukan menggunakan tepung goreng segera.
MENU MEMUKAU
Membuatkan kunjungan ke kafe ini tambah mengasyikkan adalah sambutan yang diberi oleh tuan kedai.
Terhidang di atas meja, adalah lebih 10 jenis menu serba enak. Antaranya sudah tentu ayam geprek yang jadi sebutan ramai. Isinya lembut, ada rasa ketumbar dan bawang putih yang agak ‘ringan’. Ia disaluti tepung khas buatan sendiri yang sarat dengan aroma rempah yang agak kompleks, sekali gus menjadikan setiap gigitan sangat mengasyikkan.
Ada juga dihidangkan nasi dengan udang telur masin. Udangnya bersaiz sederhana, malah sangat segar sehingga setiap kali kepala dicabut, pasti meleleh keluar jus udang membasahi sos telur masin yang wangi.
“Kami sangat menjaga kualiti bahan makanan. Misalnya, udang dan makanan laut dibeli setiap hari. Saya sendiri yang akan memilihnya, kalau udang ‘patah kepala’, saya reject awal-awal,” jelasnya.
Selain itu, turut terhidang adalah nasi goreng Portugal.
“Menu ini didatangkan dengan daging lada hitam. Ia turut menjadi hidangan laku keras, malah ramai datang ke sini apabila mencuba hidangan ini, pasti akan datang semula memesan menu yang sama,” jelasnya.
Pada masa sama, minuman yang ditampilkan juga tidak terkalahkan. Dua jenis air yang dijamu, iaitu jus kedondong asam boi serta teh hijau, ternyata membuatkan tekak berdansa dek kerana rasanya yang serba sempurna.
PANORAMA ROMANTIS
Paling mengujakan adalah pengalaman bersantap dalam bilik kaca berdinding rustic, dengan dikelilingi latar yang sunyi bertemankan siulan unggas malam.
“Sebelum musim pandemik, alhamdulillah setiap malam minggu kafe ini akan menjadi tempat bersantai orang ramai. Lazimnya, meja memang penuh, malah ada kala sampai kami tak cukup kakitangan sehingga terpaksa rekrut pekerja sambilan,” katanya menamatkan perbualan. – MINGGUAN MALAYSIA











