KUALA LANGAT: Lebih 30 buah rumah dekat Taman Langat Utama 2, Rancangan Tanah Belia (RTB) Bukit Changgang, di sini dinaiki air pada kedalaman hampir satu meter selepas berlaku limpahan Sungai Langat akibat ban pecah, awal pagi ini.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata, penduduk di kawasan berkenaan kemudian dinasihatkan supaya berpindah selepas sepasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Banting tiba kira-kira pukul 4.35 pagi.
“Komander operasi melaporkan berlaku banjir di kawasan perumahan yang dianggarkan berkedalaman satu hingga tiga kaki. Kejadian banjir tersebut melibatkan 32 buah rumah yang terjejas.
“Pihak bomba menasihatkan penduduk yang terjejas supaya segera keluar dari rumah dan berpindah ke lokasi yang lebih selamat sebagai langkah berjaga-jaga,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Difahamkan, kali terakhir insiden ban pecah di dua kawasan RTB Bukit Changgang dan Labohan Dagang adalah pada Januari empat tahun lalu yang menyebabkan berlaku limpahan air ke dalam kawasan ladang kelapa sawit sebelum membanjiri perumahan berhampiran.
Susulan itu, kerajaan melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dilapor melaksanakan projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Langat Fasa 1 bagi daerah Sepang termasuk kawasan berkenaan yang menelan kos RM41 juta.
Ia dilaporkan ditender pada akhir tahun lalu di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) sebagai penyelesaian jangka panjang.
Manakala, pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor pada Julai tahun lalu dimaklumkan sebanyak RM512 juta lagi diperuntukkan bagi RTB Sungai Langat Fasa 2 – Pakej 2 yang merangkumi keseluruhan Sungai Langat di Hulu langat sedang dilaksanakan di bawah Projek Tebatan Banjir Berimpak Tinggi (TBBT). – UTUSAN










