SHAH ALAM: Tiga mayat yang ditemukan rentung dalam salah sebuah daripada empat yang terbakar dekat Kawasan Perindustrian Olak Lempit, Banting di Kuala Langat semalam dipercayai warga Rohingya.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Mohd. Akmalrizal Radzi berkata, bagaimanapun polis masih menunggu keputusan laporan DNA bagi pengesahan identiti ketiga-tiga mangsa itu.
“Setakat ini, ketiga mangsa yang rentung disyaki berbangsa Rohingya dan dihantar ke Hospital Banting bagi ujian perbandingan DNA. Terdapat tiga orang ahli keluarga yang mengaku waris kepada simati juga merupakan bangsa yang sama.
“Rujukan berdasarkan kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Untuk Pelarian (UNHCR). Selepas hasil keputusan DNA oleh Hospital Banting, polis akan memaklumkan semula identiti ketiga-tiga mangsa tersebut,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Tambahnya, bagaimanapun tujuan ketiga-tiga mangsa itu berada di dalam kilang tersebut masih disiasat berikutan ketika kejadian premis berkenaan tidak beroperasi.
Semalam Utusan Malaysia melaporkan, tiga mangsa rentung dan tinggal rangka ketika ditemukan dalam kejadian kebakaran empat buah kilang termasuk sebuah gudang dan premis pemproses minyak.
Timbalan Pengarah Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, ketiga-tiga mangsa itu ditemukan di Warehouse Pentas Flora, ketika pasukan bomba sedang membuat kerja-kerja overhauling selepas memadam kebakaran.
Menurutnya, kebakaran awal melibatkan dua bangunan kelas B berkeluasan 30,000 kaki persegi (kps) sebelum ia merebak ke dua kilang bersebelahan. – UTUSAN










