HULU LANGAT: Penduduk di daerah ini terutama di kawasan rendah seperti di pekan, Dusun Nanding, Kajang dan sebagainya kesal dengan kekerapan banjir yang berlaku di sana dalam tempoh dua tahun kebelakangan.
Malah, sebahagian mereka mempersoalkan keberkesanan tindakan pihak berkuasa mengatasi masalah banjir di sana dan menyifatkannya sebagai tidak menyelesaikan bencana itu.
Penduduk di Taman Seri Nanding, Roslina Abdul Rahman, 65, berkata, situasi itu jauh berbeza berbanding ketika beliau mula menetap di daerah berkenaan pada 1996.
Katanya, Sejak ada pembangunan pesat di sekitar kawasan kediamannya bah lebih kerap berlaku dan keadaan itu mengancam keselamatan penduduk kerana paras air naik sukar dijangka.
“Saya peliklah kenapa sejak setahun dua ini kerap sangat banjir di kawasan ini. Kalau dulu, yang besar hanya pada 2012 dan 2021. Tetapi sekarang dalam sebulan boleh banjir dua, tiga kali
“Sejak adanya pembangunan seperti lebuh raya, kawasan kami ini seperti tidak diambil tahu oleh pihak bertanggungjawab. Saya harap pihak berkuasa boleh buat sesuatu, laburkan sedikit peruntukan untuk kawasan yang sering terkesan ini,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Rendah Agama (SRA) Dusun Nanding, semalam.
Katanya, walaupun hebahan banjir kali ini lebih cepat dan teratur, kejadian pagi tadi tetap mengejutkan dan keadaan itu lebih sukar baginya kerana perlu menjaga ibunya yang uzur sejak 2022 serta bapanya yang merupakan orang kurang upaya (OKU).
Seorang lagi penduduk di kawsan sama, Nor Ihan Ahmad, 48, memberitahu, dia dan keluarga terkejut dengan situasi banjir yang berulang serta melihat aliran air lebih deras berbanding sebelum ini.
“Air naik sampai paras paha dan sangat laju. Saya cuma sempat ambil barang serta dokumen penting yang memang sudah disediakan, terus keluar. Suami pula beritahu air longkang sudah penuh, jadi kami terus bersiap untuk keluar,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Kampung Dusun Nanding, Mohd. Rozelan Alias, 60, berkata, sehingga pukul 2.15 petang, seramai 349 mangsa daripada 87 keluarga ditempatkan di PPS SRA Dusun Nanding.
Katanya, sejak dibuka pada pukul 9 pagi, penduduk dari Taman Seri Nanding, Kampung Dusun Nanding dan kawasan sekitar mula berdaftar untuk ditempatkan di pusat berkenaan.
Berdasarkan data Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), sehingga pukul 4 petang semalam, sebanyak dua PPS dibuka di Hulu Langat iaitu SRA Dusun Tua dan Sekolah Kebangsaan SK Sungai Serai yang menempatkan 183 mangsa dari 69 keluarga. – UTUSAN










