HULU LANGAT: Hujan berterusan sejak pukul 6.30 pagi tadi menyebabkan beberapa kawasan di daerah ini kembali dinaiki air.
Sejak malam semalam, paras air di Batu 16 mula naik sebelum aliran air didapati menuju ke Kampung Sungai Serai pagi ini.
Keadaan itu turut memberi kesan kepada laluan di kawasan Batu 11 yang sering mengalami banjir lebih lama berikutan kedudukannya yang lebih rendah dan dikelilingi banyak anak sungai.
Berdasarkan data Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor, paras air di Batu 12 mencatatkan bacaan 43.5 meter (m) setakat pukul 10.30 pagi, melepasi paras bahaya 42.4m iaitu lebih 1.1m.
JPS Selangor turut mengaktifkan isyarat bahaya di Siren Batu 12, Kampung Sungai Serai pada pukul 10.14 pagi berikutan paras air yang kekal tinggi tanpa perubahan trend setakat ini.
Sementara itu, seorang guru di Batu 14, Noresah Johari, 58, berkata, beberapa guru tidak dapat hadir ke sekolah pagi ini selepas air naik dengan deras.
Menurutnya, dia selamat sampai ke sekolah kerana keluar awal pagi namun hampir separuh guru-guru sekolah dikawasan tersebut tidak dapat melalui jalan untuk memasuki sekolah kerana ditutup oleh air banjir.
Hasil perkongsian video dari penduduk kampung juga menunjukkan beberapa penduduk menggunakan lori untuk membawa murid secara berkumpulan ke sekolah-sekolah di Batu 14 awal pagi tadi.
Menerusi maklumat daripada Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), sebanyak dua pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka iaitu di Sekolah Rendah Agama (SRA) Dusun Nanding dan Sekolah Kebangsaan Sungai Serai.
Bagaimanapun, belum ada sebarang perkembangan berkenaan pemindahan mangsa di kedua-dua PPS berkenaan dikemas kini. – UTUSAN










