HULU LANGAT: Tiga sekolah di kawasan Dusun Nanding, iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dusun Nanding serta SK Sungai Serai terkesan susulan penutupan jalan sepanjang 500 meter akibat banjir kilat sejak pagi tadi.
Lebih 700 murid SK Sungai Serai difahamkan pulang dengan kenderaan yang disediakan pihak berkuasa termasuk Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan polis.
Guru SK Sungai Serai, Abu Sofi, 30, berkata, sekolah berkenaan turut dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS) hari ini dan sesi pengajaran dijalankan secara dalam talian sehingga diberitahu.
“Sejak pukul 10 pagi tadi, lebih 25 keluarga sudah berpindah ke SK Sungai Serai selepas air naik dengan cepat. Kami jangka sekolah dapat dibuka semula seperti biasa pada Isnin ini bergantung kepada keadaan cuaca,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.
Sementara itu, penduduk Taman Seri Mas, Muhammad Alif Omar, 39, berkata, paras air mula meningkat sekitar pukul 7.45 pagi selepas pulang menghantar anaknya ke sekolah.
Katanya, dia dan ibu bapa yang lain diberitahu oleh pihak sekolah untuk menunggu di kawasan sekatan jalan bagi mengambil anak yang dibawa oleh jentera yang disediakan.
“Pagi tadi masa hantar anak, jalan masih boleh dilalui. Tapi tak lama lepas tu air naik mendadak dan polis tutup laluan. Kami terpaksa tunggu di kawasan sekatan jalan sehingga anggota keselamatan ambil murid-murid dari sekolah,” ujarnya.
Menurutnya, penduduk lebih bersedia kali ini berikutan hebahan MPAJ dan amaran banjir lebih teratur selepas kejadian banjir dua minggu lalu. – UTUSAN










