SHAH ALAM: Sungai Bakul dekat Kampung Budiman, Seksyen U14, di sini kembali melimpah akibat hujan berterusan sejak tengah hari tadi.
Malah, siren amaran banjir di kampung berkenaan turut dibunyikan pada pukul 7.13 malam.
Hujan berterusan itu menyebabkan paras air Sungai Bakul serta dua lain iaitu Sungai Buloh di Taman Saujana Aman di Ijok, Kuala Selangor dan Sungai Binjai di Meru, Klang kembali meningkat.
Sementara itu, perkongsian video oleh seorang pemilik akaun Facebook yang melalui Jalan Hamzah, Kampung Budiman menunjukkan penduduk mula mengalihkan kenderaan masing-masing di tempat lebih tinggi untuk mengelakkan daripada terkena banjir.
Menurut pemilik akaun Pojie Kawaguchi, rakaman tersebut diambil kira-kira pukul 5 petang tadi dan ketika itu siren amaran banjir sudah pun dibunyikan.
Stesen pemantauan paras air Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor menunjukkan di Taman Saujana Aman dan Pekan Meru masing-masing kembali mencatatkan bacaan melepasi paras bahaya iaitu 7.92 meter (m), iaitu lebih 0.42m dan 4.34m lebih 0.14m.
Sementara di Batu Tiga pula, paras air Sungai Damansara kembali naik melepasi paras amaran iaitu 5.27 meter (m).
Jika paras air di situ terus meningkat melepasi paras bahaya, ia boleh menyebabkan lorong motosikal dan sebahagian jalan di Lebuhraya Persekutuan dilimpahi air.
Utusan Malaysia hari ini melaporkan ribut tropika Senyar dijangka membawa impak hujan lebat berterusan kepada negara bermula tengah malam ini.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia), Dr. Mohd. Hisham Mohd. Anip berkata, antara negeri yang dijangka menerima impak ribut tersebut ialah Perak, Selangor dan sebahagian kawasan di Pahang.
Malah malam tadi, JPS Selangor dalam kenyataannya berkata, kawasan di sepanjang lembangan Sungai Buloh dilapor menerima kadar taburan hujan paling tinggi bermula 24 November lalu dengan bacaan yang dicatatkan sebanyak 228 milimeter (mm).
Justeru, keadaan itu dipercayai menjadi punca kepada limpahan air yang berlaku di kawasan Kampung Kubu Gajah, Sungai Buloh serta di Kampung Seri Sentosa dan Taman Saujana Aman, Ijok.
Malah, ia turut menyebabkan laluan dari Jalan Kuala Lumpur-Kuala Selangor itu ke Bandar Puncak Alam terputus akibat banjir.
Berdasarkan maklumat daripada Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), lebih 2,900 mangsa banjir di Selangor sebanyak 2,972 mangsa terdiri daripada 792 keluarga berpindah ke 22 pusat pemindahan sementara (PPS) di seluruh negeri.
Kuala Selangor mencatatkan jumlah mangsa tertinggi apabila 1,144 mangsa dari 291 keluarga dipindahkan ke enam PPS. PPS Sekolah Kebangsaan Desa Aman di Ijok menempatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 942 orang dari 231 keluarga. – UTUSAN










