SHAH ALAM: Polis menyerahkan laporan siasatan terhadap insiden pelajar tingkatan tiga yang terjatuh dari bangunan asrama sebuah sekolah menengah di Sabak Bernam pada Ogos lalu kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya (TPR) untuk tindakan lanjut.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, pelajar berkenaan sudah pun pulang ke rumah selepas lebih sebulan menerima rawatan di Hospital Sungai Buloh termasuk di Unit Rawatan Rapi (ICU).
Menurutnya, polis sudah pun mengambil keterangan pelajar berkenaan sebelum melengkapkan siasatan.
“Pelajar sudah pulang ke rumah, ya (keterangannya) sudah diambil. Kertas siasatan sudah dirujuk serta sedang menunggu maklum balas daripada pejabat TPR,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Pada Ogos lalu akhbar ini melaporkan seorang pelajar berusia 15 tahun dilaporkan kritikal selepas terjatuh dari tingkat tiga sebuah bangunan asrama sekolah menengah.
Shazeli ketika itu memaklumkan polis membuka satu kertas siasatan di bawah Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001.
Ibu mangsa, Siti Muhaini Mohammad Mansor, 43, berkata, anaknya, Ahmad Irfan Ahmad Hanafi mendakwa anaknya mengalami pendarahan pada bahagian kiri dan kanan otak, selain rahang patah serta kecederaan pada paru-paru.
Jelasnya, dia mengesyaki berlaku unsur buli sebelum membuat laporan polis.
Bagaimanapun, Shazeli memaklumkan pihaknya menjalankan siasatan daripada pelbagai aspek termasuk mengumpulkan keterangan daripada saksi dan individu berkaitan. – UTUSAN










