ALOR SETAR: Isteri kepada pesawah yang putus kepala dipercayai akibat ditetak adik iparnya di Kampung Pida 3, Jerlun semalam, memangku mayat suaminya hampir dua jam selepas kejadian menyayat hati itu.
Marliana Awang, 39, berkata, tiada apa yang mampu dilakukan ketika itu melainkan meriba badan Allahyarham Nasir Md. Nayan, 45, yang sudah tidak bernyawa.
“Saya hanya mampu riba badan dia selama dua jam dari sebelum azan Maghrib sampai hampir pukul 10 malam. Selepas itu orang kampung dan polis sampai, mereka minta saya naik. Keadaan arwah sangat menyayat hati, saya urut dada dan buang lumpur pada tubuhnya,” katanya ketika ditemui di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini, hari ini.
Marliana berkata, dia sempat berbual dengan suami dan memintanya membawa masuk kambing ke kawasan rumah ibunya yang terletak berdekatan.
“Saya kata, abah (panggilan untuk suami) sekarang dah nak pukul 7 malam, lekas bawa masuk kambing. Selepas itu dia pun pergi ke kawasan rumah mak yang terletak selang dua buah rumah. Saya tunggu lama dan tertanya-tanya sebab apa dia tak balik lagi sebelum orang kampung datang dan beritahu nampak orang bergaduh dalam bendang,” katanya.
Ujarnya, dia terus menunggang motosikal ke lokasi dan melihat suaminya sudah terbaring dalam bendang.
“Sepanjang meriba mayat suami, saya hanya berdoa supaya segala urusan dia dipermudah dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman. Sukar nak gambarkan perasaan saya waktu itu, Allah ambil dia dalam keadaan macam itu, namun saya reda,” katanya.
Marliana berkata, suspek yang juga adiknya mengalami gangguan perasaan sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kira-kira empat tahun lalu.
“Dia tak sihat, ada gangguan (perasaan). Dia cerita kepada polis semalam dia nak keluar mandi sebelum nampak arwah suami macam memanggil dia dan seperti mengejek-ejeknya. Mungkin itu halusinasi sehingga dia sampai sanggup tetak suami dengan kejam,” katanya.
Katanya, keadaan adiknya kurang baik kira-kira dua bulan lalu kerana tidak memakan ubat yang dibekalkan doktor psikiatri mengikut masa ditetapkan.
“Sejak kebelakangan ini adik memang ada mengamuk tapi dalam rumah sahaja. Sebelum ini dia mengamuk dan sembang seorang diri dalam rumah, tak kacau orang dan akan baik bila makan ubat.
“Kali terakhir dia mengamuk guna parang sampai panggil polis, sudah lama, lebih dua tahun lalu, kebanyakan orang kampung tak kenal kerana dia jarang keluar rumah. Kalau ada orang pergi rumah mak pun, dia akan lari masuk dalam bilik,” katanya. – UTUSAN










