SHAH ALAM: “Pagi semalam surut, tengah hari mula kering, petang air naik balik.”
Demikian reaksi penduduk di Jalan Hamzah, Kampung Budiman dekat Seksyen U14, di sini apabila rumahnya kembali dinaiki air susulan hujan berterusan sejak petang semalam.
Penduduk, Mohd. Irwan, 43, berkata, terpaksa berpindah semula ke rumah ibunya yang terletak di kawasan lebih tinggi di kampung sama selepas kediamannya itu kembali dilimpahi banjir kira-kira 0.3 meter (m).
“Semalam saya sudah kembali bekerja apabila banjir sudah surut. Kemudian apabila mendengar berita tentang ribut tropika Senyar, saya mula bimbang dan bergegas pulang ke rumah pada petang semalam dari Telok Gong, Klang. Bila tiba di rumah, tengok air sudah pun naik
“Mujur masa kejadian kali pertama 24 November lalu, saya dan isteri sempat pindahkan barang-barang penting seperti peralatan elektrik dan sebagainya ke tempat lebih tinggi supaya ia boleh terus digunakan,” katanya ketika ditemui.
Tinjauan Utusan Malaysia di kampung tersebut mendapati, arus Sungai Bakul mengalir deras dari arah Alam Budiman dan sekitar kolam takungan di Setia Alam.
Ia seterusnya melimpah kira-kira 500 meter sebelum Rumah Pam Air Kolam Tadahan Kampung Budiman dan menyebabkan sekurang-kurangnya 20 buah rumah serta kawasannya dinaiki air.
Seorang lagi penduduk, Nureen Sofea Mat Isa, 18, memberitahu, dia bergegas pulang dari Sabak Bernam ke rumah keluarganya di situ apabila dimaklumkan kawasan berkenaan kembali dilanda banjir.
“Memang rancang hendak pulang esok, tetapi bila ahli keluarga beritahu air naik balik, saya terus bergerak pulang semalam untuk bantu. Bila sampai, air sudah naik ke paras betis, motor dan kereta pula kena letakkan di tepi jalan yang lebih tinggi.
“Setakat ini kami belum berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) sebab rumah kami tinggi, cuma halaman yang dinaiki air. Sejak ada kolam tadahan dan rumah pam, banjir kali ini tidaklah seteruk pada 2021,” ujarnya calon peperiksan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) itu.
Semalam, akhbar ini melaporkan ribut tropika Senyar dijangka membawa impak hujan lebat berterusan kepada negara bermula tengah malam tadi.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia), Dr. Mohd. Hisham Mohd. Anip berkata, antara negeri yang dijangka menerima impak ribut tersebut ialah Perak, Selangor dan sebahagian kawasan di Pahang.
Sehingga pagi tadi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor (JBPM) Selangor memaklumkan seramai 2,722 mangsa banjir berpindah di 16 PPS di seluruh negeri.
Angka itu dilihat kembali meningkat selepas ramai yang kembali pulang ke rumah selepas banjir surut semalam, namun berpindah semula ke PPS susulan kerana banjir kembali melanda susulan hujan lebat akibat ribut tropika Senyar. – UTUSAN










