SHAH ALAM: Ahli keluarga tidak menyangka mayat K. Suresh yang dilaporkan hilang susulan kejadian ‘kepala air’ dekat Sungai Klang di Pintasan Saloma, Kuala Lumpur hanyut hingga ke Klang.
Seorang ahli keluarga, yang enggan identitinya didedahkan berkata, dia amat berharap adiknya berusia 37 tahun itu akan ditemui dengan selamat, namun terpaksa hadir di Hospital Shah Alam (HSA) untuk membuat pengecaman mayat.
“Cam mayat, memang adik saya. Saya kenal mayat itu sebagai Suresh melalui tatu dan wajahnya yang masih dalam keadaan baik. Mayatnya juga elok,” katanya ketika ditemui, hari ini.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, lelaki yang dihanyutkan kepala air di Sungai Klang berhampiran Pintasan Saloma pada Isnin lalu ditemukan di kawasan Kampung Sungai Kandis, Shah Alam, hari ini.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sazalee Adam, mengesahkan penemuan mayat lelaki berkenaan kira-kira pukul 10.30 pagi tadi.
Mayat tersebut ditemui selepas operasi pencariannya dilakukan selama empat hari dan hanya ditemui kira-kira 40 kilometer dari lokasi asal dia dilaporkan hilang.
Bagaimanapun, lelaki berusia 40 tahun, itu menghargai usaha mencari dan menyelamat yang dilakukan oleh pasukan polis dan pihak berkuasa lain tanpa rasa putus asa.
“OCPD Dang Wangi (Asisten Komisioner Sazalee Adam) bagi sokongan moral…mereka kata akan cari sampai jumpa. Mereka bagi harapan dan akhirnya jumpa juga. Terima kasih juga kepada semua rakyat Malaysia yang mendoakan dan memberikan kata semangat kepada kami,” ujarnya.
Dalam pada itu, dia turut meluahkan rasa kehilangan Suresh dan menganggap kejadian yang berlaku sebagai insiden yang mengejutkan dan menyayat hati.
“Kali terakhir bertemu mendiang pada Ahad lalu, namun apa-apa perubahan yang ditunjukkan. Namun, kami memang terkejut dengan insiden itu. Adik saya orangnya rajin, berani dan baik dengan semua. Dia tidak pilih bulu.
“Jujur sebelum ini kami berharap dia selamat. Namun, kami bersyukur dia tetap dijumpai walaupun dalam situasi berbeza,” ujarnya.
Tambahnya, urusan pengebumian akan dijalankan di kediaman mereka di Rawang setelah selesai bedah siasat di HSA.
Isnin lalu, seorang lelaki yang sedang melakukan kerja penambahbaikan Sungai Klang dilaporkan dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan kepala air berhampiran Pintasan Saloma, jam 5.40 petang. – UTUSAN










