SHAH ALAM: Seorang pemandu maut sementara empat lagi termasuk bayi berusia tujuh bulan dan kanak-kanak parah akibat kemalangan dekat Persiaran Tengku Ampuan, Seksyen 22, di sini, hari ini.
Penolong Pengarah Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, kemalangan tersebut melibatkan sebuah kereta Proton Saga FLX yang dinaiki kesemua mangsa.
Menurutnya, JBPM Selangor menerima panggilan pada pukul 1.20 tengah hari sebelum menggerakkan sepasukan pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Shah Alam ke tempat kejadian.
“Komander operasi melaporkan sebuah kereta terbabas dan melanggar tiang elektrik. Terdapat seorang lelaki berusia 39 tahun tersepit di bahagian pemandu dan berjaya dikeluarkan oleh bomba, namun disahkan meninggal dunia oleh petugas kesihatan pada pukul 1.45 tengah hari.
“Tindakan selanjutnya, seorang wanita berusia 38 tahun, dua kanak-kanak perempuan berusia tujuh dan empat tahun serta seorang bayi perempuan mengalami cedera parah,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Tambahnya, mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut sementara seorang wanita, dua kanak-kanak dan bayi pula dibawa oleh orang awam ke hospital untuk mendapatkan rawatan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, kejadian melibatkan pasangan suami isteri dan tiga anak mereka.
“Suami meninggal dunia, isteri dan anak-anak sedang menerima rawatan di hospital. Isteri di Zon Merah, Jabatan Kecemasan Hospital Shah Alam, sementara anak-anak di Hospital KPJ Seksyen 20. Kenyataan lanjut menyusul,” ujarnya. – UTUSAN










