KUALA SELANGOR: Seorang penunggang motosikal berkuasa tinggi maut selepas bertembung dengan sebuah kereta Proton Exora dekat Kilometer (KM) 52, Jalan Klang – Teluk Intan, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1.35 tengah hari itu, penunggang motosikal jenis Yamaha MT09 dikatakan dalam perjalanan dari arah utara menuju ke Klang sebelum bertembung dengan kereta terbabit yang hendak membelok ke kanan di laluan bertentangan.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Azharudin Tajudin berkata, kaunter aduan trafik Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) menerima aduan kira-kira pukul 1.57 tengah hari.
“Ketika kereta berkenaan membelok ke kanan, penunggang tersebut tidak sempat mengelak lalu melanggar sisi kiri bahagian hadapan kereta dipandu wanita berusia 39 tahun.
“Akibat pelanggaran tersebut, penunggang tercampak ke bahu kiri jalan dan disahkan meninggal dunia ditempat kejadian oleh petugas kesihatan selepas mengalami kecederaan parah di seluruh badan termasuk muka,” katanya dalam satu kenyataan dalam media sosial, hari ini.
Dakwa Azharudin, pemandu kereta terbabit serta seorang penumpang pula mengalami kecederaan di bahagian muka.
“Pemandu dan penumpang dibawa ke Hospital Tanjong Karang untuk menerima rawatan, sementara mayat penunggang motosikal itu pula dibawa ke Unit Perubatan Forensik hospital sama untuk bedah siasat,” jelasnya.
Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tambil ke balai polis berhampiran atau menghubungi Bilik Gerakan IPD Kuala Selangor di talian 03-43891222.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN










