SHAH ALAM: Seorang pelajar lelaki yang terjatuh dari tingkat tiga asrama sebuah sekolah di Sabak Bernam dibenarkan keluar daripada hospital pada 20 September lalu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, remaja berusia 15 tahun yang berada di rumah keluarganya di Sabak Bernam itu kini menunjukkan perkembangan positif.
“Proses pemulihan pelajar tingkatan tiga itu semakin positif termasuk boleh berjalan dan bercakap walaupun tidak lancar. Namun, pemakanannya belum lagi teratur setakat ini,” katanya pada sidang akhbar hari ini.
Menurut beliau, polis setakat ini belum merekodkan keterangan secara penuh daripada pelajar berkenaan.
“Keterangan hanya diambil dalam aspek perbualan kerana keadaan mentalnya belum pulih sepenuhnya. Ia disebabkan oleh kecederaannya di kepala. Jadi, kita ambil kaedah bagi tembual dulu supaya tidak memberi tekanan kepada mangsa,” ujarnya.
Tambah Shazeli, pihaknya juga sudah pun menghantar kertas siasatan kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya (TPR).
“Kami masih menunggu maklum balas dan sebarang arahan lanjut daripada TPR. Justeru, polis memohon pihak media dan masyarakat bersabar bagi mendapatkan keputusan kes berkenaan kelak,” jelasnya.
September lalu, Utusan Malaysia melaporkan mangsa yang masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sungai Buloh dilaporkan stabil dengan tindak balas positif.
Pelajar itu sudah pun menjalani prosedur khas bagi mengawal tekanan otak yang berjaya dilengkapkan dalam tempoh 48 jam pertama.
Mangsa sebelum ini dilaporkan berada dalam keadaan kritikal selepas terjatuh dari tingkat tiga asrama sekolah itu pada 26 Ogos lalu.
Keputusan imbasan CT scan mendapati mangsa mengalami pendarahan pada otak selain rahang patah dan kecederaan paru-paru.
Siasatan polis mendapati insiden itu tidak menunjukkan akibat kelakuan buli dan turut sedang meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) lokasi berkenaan.
Beberapa individu termasuk pihak sekolah telah diambil keterangan bagi membantu siasatan yang diteruskan bagi mengenal pasti situasi dan punca sebenar kejadian.
Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001. – UTUSAN










