Ombak lebih dua meter badai Kampung Huma - Utusan Malaysia

Ombak lebih dua meter badai Kampung Huma

MD. Akhir Hanafiah melihat kawasan pantai di belakang rumahnya yang berdepan hakisan teruk ekoran dilanda air pasang besar di Kampung Huma, Tanjung Dawai, Kedah. – UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: “Setelah melihat guni pasir yang dijadikan benteng hilang akibat dibadai ombak, saya bergegas membawa anak dan isteri lari keluar dari rumah untuk menyelamatkan diri.”

Cerita salah seorang penduduk Kampung Huma, Tanjung Dawai di sini yang mana kediaman mereka terjejas akibat fenomena air pasang besar, kelmarin.

Muhammad Hanif Rosmaidi, 27, berkata, ketika kejadian, hujan lebat bermula sejak awal pagi yang kemudiannya turut disusuli angin kencang sehingga mengakibatkan ombak besar.

“Saya terkejut apabila ombak mula membadai dinding bahagian dapur rumah kira-kira pukul 12.30 tengah hari, sebelum air laut melimpah masuk keseluruhan rumah beberapa minit kemudian.

“Air laut berwarna hitam itu bukan sahaja menghentam din­ding rumah, malah menyebabkan pelbagai barangan dalam rumah saya rosak,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia semalam.

Tragedi yang menyebabkan ombak setinggi lebih dua meter itu menyebabkan 50 mangsa daripada 23 keluarga di kampung berkenaan dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Choong Cheng.

Muhammad Hanif berkata, dia kerugian hampir RM10,000 apabila usahanya meletakkan guni berisi pasir tidak berhasil untuk menghalang ombak dalam kejadian itu.

Bagi Ramli Rejab, 72, pula, ombak besar kali ini dianggap luar biasa berbanding fenomena sama sebelum ini yang mero­sakkan barangan rumah akibat terendam air masin.

“Saya tinggal di sini sejak le­bih 40 tahun lalu, sudah banyak kali rumah kami dibadai ombak, namun kejadian semalam (kelmarin) hingga melepasi bumbung rumah benar-benar membuatkan saya rasa tidak selamat untuk te­rus tinggal di sini,” katanya.

Seorang lagi mangsa, Md. Akhir Hanafiah, 73, berkata, kejadian kelmarin berlaku terlalu cepat hingga dia dan ahli keluarga tidak sempat menyelamatkan apa-apa barang.

“Saya antara mangsa yang terkesan teruk kerana ombak besar melepasi benteng batu yang dibina di belakang rumah sebelum air melimpah ke dalam rumah.

“Lepas ini pihak berkuasa perlu segera bina benteng penghadang ombak yang lebih kukuh bagi mengelak kejadian serupa berulang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN