Nahas Tol Bukit Kajang: Polis tunggu laporan penuh teknikal pakar

Nahas Tol Bukit Kajang: Polis tunggu laporan penuh teknikal pakar

Tol Bukit Kajang
SHAZELI KAHAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Polis sedang menunggu laporan penuh teknikal daripada pakar berkaitan kes kemalangan maut di Plaza Tol Bukit Kajang, Lebuhraya Lingkaran Penyuraian Trafik Kajang (SILK) pada Sabtu lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, siasatan kes itu meliputi pelbagai aspek terutama teknikal yang melibatkan kerjasama agensi lain, ia sudah pun dirujuk ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya (TPR) untuk tindakan lanjur.

“Namun, ia dikembalikan semula supaya mendapatkan laporan teknikal sebelum arahan khusus dikeluarkan kelak.

“Ia melibatkan agensi bersifat teknikal untuk memberi laporan akhir dan kita menunggunya daripada pakar bagi melengkapkan siasatan,” katanya pada sidang akhbar, hari ini.

Tambah Shazeli, pihaknya turut merekodkan keterangan pihak berkepentingan bagi membantu siasatan kes kemalangan itu.

“Pihak yang dirakam keterangan itu termasuk pemilik syarikat lori terlibat. Buat masa ini, suspek (pemandu lori) diberikan jaminan polis sementara menunggu laporan pakar tersebut,” ujarnya.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) membatalkan Lesen Pengendali syarikat lori LDT Metal Trading yang terlibat dalam kemalangan itu berkuat kuasa hari ini.

Hasil siasatan mendapati syarikat itu gagal mematuhi syarat keselamatan termasuk pemasangan Sistem Kedudukan Sejagat (GPS) pada kenderaan perdagangan yang dilesenkan di bawah lesen pengendali berkenaan.

Kejadian pukul 11 pagi itu mengorbankan nyawa seorang bayi lelaki berusia setahun manakala lapan lagi cedera melibatkan empat kenderaan termasuk lori tiga tan membawa muatan barangan lusuh.

Polis sebelum ini merekodkan lima keterangan termasuk pemilik syarikat lori dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Pemandu lori berusia 42 tahun itu direman sebelum ini dan mengaku melompat keluar dari kenderaan berat sebelum nahas tersebut.

Semalam, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengesahkan melengkapkan laporan siasatan kes tersebut termasuk semakan semula Laporan Pemeriksaan dan Audit Keselamatan (JISA) terhadap syarikat pengendali lori itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN