KLANG: Perjalanan seorang penunggang motosikal berkuasa tinggi berakhir tragedi selepas terlibat dalam kemalangan dekat Jalan Batu Belah, Bandar Bukit Raja, di sini, tengah malam tadi.
Lelaki berusia 42 tahun itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh petugas keselamatan apabila motosikal jenis Ducati yang ditungganginya terbakar selepas terlibat kemalangan dengan sebuah kereta Perodua Myvi.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 11.40 malam sebelum menggerakkan sepasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Klang Utara ke tempat kejadian.
“Komander Operasi lapor kebakaran melibatkan sebuah motosikal jenis Ducati dan sebuah kereta Perodua Myvi.
“Terdapat seorang lelaki disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan. Anggota bomba sedang menunggu pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Tambahnya, dalam operasi tersebut seramai enam termasuk pegawai dan anggota bersama sebuah jentera dikejarkan ke tempat kejadian untuk operasi menyelamat. – UTUSAN










