KLANG: Polis sedang mengesan seorang wanita yang dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya di sekitar Kapar di sini, sejak lebih seminggu lalu.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S. Vijaya Rao berkata, kehilangan itu melibatkan wanita berusia 30 tahun yang dikenali sebagai Nur Atiqah Abdul Hisham.
Menurutnya, polis menerima laporan mengenai kes Orang Hilang (OH) itu kira-kira pukul 9.32 pagi, 17 September lalu.
“Nur Atiqah hilang selepas keluar daripada rumahnya yang beralamat di Jalan Jambu Meru, Kapar.
“Wanita berkulit kuning langsat itu berketinggian 160 sentimeter manakala beratnya 85 kilogram,” katanya ketika dihubungi semalam.
Justeru, Vijaya meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai wanita itu supaya menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara di talian 03-32913344 atau Pegawai Penyiasat, Sarjan Sabarudin Yahya di 019-2326287 bagi tindakan lanjut. – UTUSAN