PETALING JAYA: Kembar kepada bayi lelaki yang meninggal dunia akibat nahas di Plaza Tol Bukit Kajang, Sistem Lebuhraya Lingkaran Kajang (SILK) kelmarin, tercari-cari adiknya.
Amir Husayn yang berusia setahun empat bulan maut di lokasi kejadian selepas kenderaan dinaiki keluarganya dirempuh sebuah lori kira-kira pukul 10.50 pagi.
Bapa saudaranya, Syafiq Khairuddin, 32, berkata, abang kepada Amir Husain iaitu Amir Hasan beberapa kali dilihat mencari-cari adik kembarnya.
“Memang menyayat hati bila tengok Amir Hasan cari-cari adiknya. Mereka berdua baharu hendak membesar, selalu bersama dan jarang berpisah. Bayangkan, sejak lahir mereka berdua tidak pernah terpisah, tiba-tiba hari ini tinggal seorang,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Sabtu lalu, akhbar ini melaporkan, seorang bayi lelaki berusia setahun maut manakala lapan individu cedera dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di Plaza Tol Bukit Kajang.
Kemalangan melibatkan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) Jabatan Kerja Raya (JKR), Honda City, Proton X70 dan lori tiga tan membawa barangan lusuh.
Syafiq berkata, ketika kejadian, kakaknya, Nurul Husna Khairuddin bersama dua anak kembarnya dalam perjalanan pulang dari rumah ibu di Taman Kajang Perdana menuju ke kediaman di Taman Kajang Utama.
“Kakak saya berusia 38 tahun bekerja sebagai pensyarah di sebuah institusi pengajian tinggi swasta (IPTS), manakala abang ipar, Amirul Ridzuan Abu Bakar pula bertugas sebagai pensyarah di sebuah universiti di utara tanah air.
“Mereka telah mendirikan rumah tangga selama 14 tahun dan hanya selepas 10 tahun menunggu barulah dikurniakan pasangan kembar yang amat dinanti-nantikan,” katanya.
Katanya, kakaknya hanya mengalami luka di tangan akibat kejadian tersebut manakala abang ipar yang pulang dari Kedah pada hari kejadian masih terkesan dengan kehilangan anaknya.
“Pada awalnya abang ipar agak terkejut selepas mengetahui berkenaan insiden tersebut dan terus bergegas pulang ke rumah. Daripada segi emosi, keadaan abang dan kakak mula pulih dan reda menerima kehilangan tersebut,” katanya.
Jenazah Amir Husayn selamat dikebumikan pukul 10.30 pagi semalam di Tanah Perkuburan Islam Sungai Kantan Baru, Kajang.
Syafiq berkata, seluruh ahli keluarga amat terkesan kerana Allahyarham merupakan penyeri keluarga yang begitu lama dinantikan.
“Arwah Amir Husayn dan Amir Hasan merupakan anak pertama kakak saya. Memang semua keluarga rasa kehilangan, namun mereka kini menerima dan reda dengan ketentuan Allah,” katanya.
Katanya, mereka belum memikirkan sebarang tindakan lanjut berhubung kemalangan tersebut, namun tidak menolak kemungkinan untuk mengambil langkah susulan selepas keadaan tenang.
Dalam pada itu, pemandu lori terlibat mengakui melompat keluar dari lori kerana masalah brek.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, suspek lelaki berusia 42 tahun itu direman selama dua hari bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN










