SHAH ALAM: Seorang pelajar tingkatan empat maut manakala seorang lagi parah selepas terlibat dalam kejadian langgar lari dekat Kilometer 1.2 Lebuhraya Lembah Klang Baru (NKVE) di sini, awal pagi tadi.
Kemalangan kira-kira pukul 2.30 pagi itu melibatkan mangsa lelaki tempatan berusia 16 dan 22 tahun yang menunggang dua motosikal berasingan.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, siasatan awal mendapati pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Meru, Klang yang menunggang Yamaha Lagenda itu dipercayai hilang kawalan lalu tergelincir dan jatuh di lorong tengah.
Jelasnya, seorang penghantar barang yang kebetulan berada di lokasi itu kemudian berhenti dan mahu membantu penunggang mangsa.
“Namun, secara tiba-tiba datang sebuah kenderaan melanggar dua penunggang motosikal berkenaan.
“Kemalangan itu mengakibatkan pelajar itu maut di tempat kejadian manakala seorang lagi parah di kepala dan dibawa ke Hospital Shah Alam bagi rawatan lanjut,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Tambah Mohd. Iqbal, kenderaan yang terlibat tidak dikenal pasti dan diklasifikasikan sebagai langgar lari
“Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Nur Iqmal Maisarah Azman di talian 017-2836851 atau balai polis berdekatan bagi membantu siasatan,” ujarnya. – UTUSAN










