Enam sekawan dikatakan masak barbeku sebelum terlibat kemalangan

Enam sekawan dikatakan masak barbeku sebelum terlibat kemalangan

Kemalangan maut
ANWAR Kamil bercakap kepada pemberita ketika ditemui dekat Hospital Banting, di Kuala Langat, Selangor, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LANGAT: Ibu salah seorang mangsa kemalangan maut dekat Kampung Chodoi, Jalan Sultan Suleiman Shah, di sini, mendakwa anaknya itu keluar bersama rakan-rakan untuk barbeku bersama-sama.

Menurut Shaffiah Jemagin, 41, arwah meminta wang daripadanya untuk keluar berbabeku bersama kawan-kawannya.

“Saya hanya mampu berikan RM5 kepadanya dan wang itu masih tersimpan rapi dalam beg dompetnya. Memang amat sedih sebab dia anak yang baik dan rajin. Apa yang saya tahu dia adalah penumpang dalam kereta dan tercampak semasa kejadian itu,” katanya ketika ditemui di Hospital Banting, hari ini.

Sementara bapanya, Anwar Kamil, 44, memaklumkan dia sempat berpesan kepada anak sulungnya daripada tiga beradik itu supaya menunaikan solat Maghrib sebelum keluar.

“Selepas solat, saya lihat dia keluar dengan membawa stokin tanpa makan malam. Saya ingat dia hendak keluar bermain sepak takraw sebab arwah memang aktif bermain sukan itu sekurang-kurangnya tiga kali seminggu.

“Namun, saya diberitahu oleh kawannya kira-kira pukul 6.45 pagi yang arwah terlibat kemalangan jalan raya. Selang 15 minit kemudian, saya dimaklumkan lagi anak meninggal dunia, luluh hati saya,” luahnya.

Sementara seorang lagi ibu mangsa, Roszainida Hassan, 40, memberitahu anak sulung daripada lima beradik itu mengambil alih tugas ‘ketua keluarga’ selepas suaminya, Shamsul Sharizan Salam, 43, kini terlantar di rumah akibat masalah kesihatan.

Katanya, sebelum kejadian arwah ada memaklumkan ingin keluar membaiki motosikal di sebuah bengkel dalam kira-kira pukul 10 malam.

“Saya tidak mengesyaki apa-apa dengan dan dia memandu kereta suami. Saya sempat berpesan supaya berhati-hati. Namun, tidak sangka arwah kemalangan, malah dia tidak menunjukkan sebarang perubahan pun sebelum ini,” ujarnya.

Menurutnya, allahyarham merupakan seorang bertanggungjawab dengan melakukan pelbagai kerja dalam membantu kewangan keluarga.

“Arwah yang banyak bantu membayar pinjaman rumah, beli barang, memasak dan menguruskan anak-anak. Dia tulang belakang kami. Kehilangannya memang terasa dan berat sungguh ujian kami,” tuturnya.

Bagi, Nururrarizikiah Jantan, 47, tragedi itu benar-benar memilukan hatinya susulan kehilangan anak ketiganya berusia, 19 tahun.

Menurutnya, seorang lagi anaknya iaitu yang berusia 17 tahun juga sedang bertarung nyawa dirawat di Zon Merah.

“Arwah Hariz baharu sahaja pulang dari bekerja sebagai mekanik di bengkel berhampiran rumah di Batu Kebun 9. Saya ingat mereka  keluar dekat-dekat bersama rakan-rakan yang lain. Saya kena kuat semangat dan berharap seorang lagi anak saya selamat,” jelasnya.

Tambahnya, hatinya luluh ketika mengesahkan identiti anaknya selepas doktor menunjukkan kad pengenalan.

“Doktor merawat memaklumkan kedua-dua kaki dan tangan kirinya patah. Manakala terdapat kecederaan pada otaknya dan terpaksa ditidurkan ketika ini,” katanya.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan polis mengesahkan empat remaja maut dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta jenis Toyota Corolla dinaiki enam sekawan yang terbabas ke dalam parit dekat Kampung Chodoi, Jalan Sultan Suleiman Shah, di sini, awal pagi tadi.

Tiga daripada mereka maut di tempat kejadian sementara seorang lagi meninggal dunia ketika sedang menerima rawatan Unit Rawatan Kecemasan, Hospital Banting kira-kira pukul 11 pagi.

Mangsa yang meninggal dunia terdiri daripada pemandu dan penumpang hadapan berusia 16 tahun serta seorang penumpang di belakang berusia 19 tahun. Sementara mangsa yang meninggal di hospital juga berusia 19 tahun.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Mohd. Akmalrizal Radzi berkata, siasatan awal pihaknya mendapati pemandu dipercayai mengantuk dan terlelap sebelum kereta dipandunya itu hilang kawalan dan terbabas. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN