KUALA LUMPUR: Pembinaan kawasan rehat dan rawat (R&R) di laluan berbukit dan berliku seperti Jalan Raya Timur Barat (JRTB) wajar dipertimbangkan sebagai langkah meningkatkan keselamatan jalan raya di situ.
Pakar keselamatan jalan raya, Prof. Madya Dr. Munzilah Md. Rohani berkata, JRTB memerlukan sokongan infrastruktur seperti R&R bagi membolehkan pemandu berhenti rehat dengan selamat.
“Laluan tersebut memang terkenal dengan jalan yang panjang, sempit serta berliku. Apabila berlaku kecemasan, agak sukar untuk mencari kawasan yang sesuai untuk berhenti dan memeriksa kenderaan.
“Kalau dapat diwujudkan kawasan R&R, ia pasti memberi manfaat kepada semua pengguna jalan raya dan bukan sekadar pemandu bas tetapi juga pemandu kenderaan persendirian,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Semalam, akhbar ini melaporkan, laluan JRTB mencatatkan sebanyak 214 kemalangan jalan raya termasuk lima kejadian maut dari Januari hingga Mei tahun ini.
Sementara itu, Ketua Pusat Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya, Fakulti Kejuruteraan Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Law Teik Hua turut menyarankan pembinaan R&R di laluan seperti JRTB.
Katanya, laluan itu digunakan oleh kenderaan berat serta pemandu jarak jauh yang terdedah kepada risiko keletihan.
“Tempat hentian rehat bukan sahaja menyediakan ruang untuk pemandu berehat dan menyegarkan diri, malah boleh menjadi titik keselamatan khususnya dalam situasi kecemasan atau cuaca buruk.
“R&R ini perlu lengkap dengan kemudahan asas seperti tandas, surau, tempat makan serta pencahayaan yang mencukupi bagi menarik pemandu untuk berhenti,” katanya. – UTUSAN