MELAKA: Seorang bayi lelaki berusia tiga bulan maut selepas dipercayai lemas kerana dihempap lengan bapanya yang meninggal dunia akibat serangan jantung di Kampung Perigi Hang Tuah, Duyong di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8.30 pagi itu, Muhammad Nur Daniel Nurul Efendy disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala bapanya, Nurul Efendy Ibrahim, 35, turut ditemui tidak bernyawa.
Abang Nurul Efendy, Mohamad Hafizi Ibrahim, 40, berkata, sebelum kejadian, Allahyarham ada mengadu mengalami sakit dada, namun enggan mendapatkan rawatan di klinik.
“Waktu kejadian, isterinya, Azura Abdul Malik, 37, tiada di rumah kerana keluar bekerja, bila dia pulang untuk bawa anak ke klinik kesihatan bagi pemeriksaan berkala, dia dapati adik saya sudah terbaring dan tangan kanannya menghempap bayi.
“Masa saya datang, saya nampak bayi dah kebiruan dan adik saya pun sudah tidak sedarkan diri, kami hubungi ambulans, tapi kedua-duanya disahkan sudah meninggal dunia,” katanya ketika ditemui.
Difahamkan, Nurul Efendy yang mengusahakan sebuah bengkel di hadapan rumahnya tinggal bersama isteri dan bayi berkenaan, sementara dua lagi anak mereka berusia 17 dan 15 tahun berada di asrama.
Jenazah kedua-dua beranak itu dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka untuk bedah siasat. – UTUSAN