MELAKA: Tindakan pantas pasukan bomba berjaya mengelak kejadian kebakaran di sebuah kilang di Batu Berendam di sini daripada mencetuskan pencemaran bahan kimia yang disimpan di premis berkenaan.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1.07 petang tadi, kebakaran berlaku di bahagian luar bangunan kilang yang dijadikan stor penyimpanan bahan kimia.
Komander Operasi, Timbalan Penguasa Bomba II Mohd. Syukri Mohd. Daud berkata, seramai 26 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Melaka Tengah, Ayer Keroh dan Alor Gajah digerakkan sebaik menerima panggilan kecemasan.
“Setibanya pasukan di lokasi, didapati struktur sementara berkeluasan 40 kali 60 kaki persegi terbakar hampir 80 peratus.
“Tindakan segera pasukan bomba berjaya mengawal kebakaran daripada merebak serta menghalang sebarang pencemaran bahan kimia di kawasan sekitar,” katanya.
Menurutnya, operasi dikawal dalam tempoh kurang 15 minit dan ditamatkan sepenuhnya pada pukul 6.33 petang selepas memastikan tiada lagi risiko bahaya.
Tiada mangsa dilaporkan dalam kejadian tersebut dan tiada agensi bantuan luar diperlukan sepanjang operasi berlangsung.
Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (HAZMAT) dan operasi nyahcemar(decon) turut dikerah ke lokasi sebagai langkah berjaga-jaga memandangkan kebakaran melibatkan kawasan penyimpanan bahan berisiko tinggi.
Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kebakaran. – UTUSAN