SUBANG JAYA: Pemantauan selepas trauma menjadi cabaran lebih besar untuk Kementerian Kesihatan (KKM) dalam menguruskan mangsa-mangsa letupan paip gas di Putra Heights di sini, yang sedang mendapatkan rawatan di fasiliti kerajaan.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, kesemua mangsa sedang dijaga dengan baik oleh para petugas kesihatan dan dalam keadaan stabil.
Ujarnya, masih terlalu awal untuk mendedahkan kemungkinan penyakit atau keadaan semasa yang dihadapi impak daripada tragedi berkenaan
Jelasnya, beliau telah melawat mangsa-mangsa yang ditempatkan di beberapa hospital terutamanya Hospital Sultan Idris Shah (HSIS) Serdang bagi melihat sendiri keadaan mereka.
“Sepanjang lawatan saya, semua mangsa dalam keadaan amat terkawal dengan rawatan-rawatan yang diberikan. Hanya satu mangsa yang berada di unit rawatan rapi (ICU) dan masih diintubasi serta menggunakan alat bantuan pernafasan.
“Kita tak nak mengatakan apa-apa tentang penyakit atau jenis penyakit. Saya pernah lihat penyakit yang teruk di HSIS ini, cuma saya tak dapat dekati lagi pesakit ini.
“Saya dapati di HSIS itu ada mangsa melecur tahap dua dan tiga. Ada juga yang lebih serius dan paling parah pernah saya nampak. Namun, semua dalam rawatan dan dijaga dengan baik oleh pasukan kesihatan kita,” katanya dalam sidang akhbar di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Serbaguna Masjid Putra Heights di sini, hari ini.
Tambah Dzulkefly, PPS di Putra Heights dijangka beroperasi sekurang-kurangnya untuk tempoh seminggu lagi. – UTUSAN