SEREMBAN: Sebuah kilang permaidani di tepi jalan utama ke Pusat Perniagaan Nilai 3 di sini, musnah dalam kebakaran pagi semalam.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Negeri Sembilan memaklumkan, pihaknya menerima laporan kejadian pada pukul 7.49 pagi.
Akibat kejadian, asap tebal menyelubungi kawasan Nilai dan sekitar.
Pengarah JBPM Negeri Sembilan, Nor Arifin Kamari berkata, api berjaya dikawal kira-kira pukul 9 pagi daripada merebak ke bangunan lain.
“Ia akan mengambil masa memandangkan bahan yang menyebabkan kebakaran (fire loaded) dalam kilang tersebut adalah sangat banyak. Terdapat beberapa risiko bahaya masih dikesan seperti runtuhan struktur serta arus elektrik untuk pihak kami membuat penilaian secara berterusan.
“Kami akan menunggu sehingga api dapat dikawal bagi mengetahui punca kebakaran terbabit,” katanya.
Dalam pada itu, Jabatan Alam Sekitar (JAS) akan memantau kualiti udara di kawasan sekitar lokasi kejadian kebakaran.
Pengarah JAS Negeri Sembilan, Hamzah Mohammad berkata, pihaknya telah memasang alat pemantauan kualiti udara di sekitar kawasan lokasi bagi mengesan sekiranya terdapat data bacaan pencemaran udara di kawasan terbabit.
“Bagaimanapun, penduduk setempat dinasihatkan supaya tidak cemas, sekiranya JAS menerima data bacaan tidak baik dan berlaku peningkatan pencemaran, kami akan mengeluarkan nasihat supaya sekolah agar ditutup, selain orang ramai tidak menjalani aktiviti diluar.
“Kawasan perumahan yang terdekat dari lokasi kebakaran adalah di Nilai Impian dengan jarak tidak sampai satu kilometer. Namun, setakat ini kami belum menerima maklumat lagi sebelum memutuskan sebarang keperluan demi keselamatan penduduk,” katanya.
Sementara itu, pemilik yang juga pengarah syarikat, J. Rajesh, 52, memberitahu, pihaknya menjangkakan kerugian mencecah RM30 juta.
“Saya dimaklumkan mengenai kejadian kebakaran yang berlaku daripada pengawal keselamatan. Saya dimaklumkan sebelum kejadian, pengawal telah membuka suis utama namun dipercayai berlaku sesuatu yang pelik.
“Dia ternampak kepulan asap dan seterusnya menyebabkan kesemua permaidani termasuk barangan kelengkapan rumah di dalam kilang hangus terbakar,” katanya.
Setakat pukul 5.30 petang semalam, operasi pemadaman masih dijalankan pihak bomba. – UTUSAN