Sistem saliran lama, punca banjir kilat di Masjid Tanah - Sulaiman

Sistem saliran lama, punca banjir kilat di Masjid Tanah – Sulaiman

SULAIMAN MD. ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH: Banjir kilat paling teruk menenggelamkan sebahagian Pekan Masjid Tanah di sini, termasuk dua perumahan iaitu Taman Masjid Tanah Ria dan Taman Bandar Baru Masjid Tanah semalam berpunca daripada sistem saliran lama yang tidak dinaik taraf.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lendu, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali berkata, keadaan itu diburukkan lagi apabila Sungai Durian Daun berhampiran Taman Masjid Tanah Ria ditutup, kemudian diganti dengan longkang bersaiz 4.5 meter (m).

Menurutnya, pihak bertanggungjawab termasuk Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) dan Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Alor Gajah perlu menaik taraf sistem saliran di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lendu bagi mengelak kejadian sama berulang.

Katanya, beliau pernah mengemukakan cadangan membesarkan Sungai Durian Daun yang bersambung hingga ke Kampung Seri Tanjung dan beberapa longkang di sekitar Pekan Masjid Tanah, namun tiada tindakan diambil.

“Dulu di DUN Lendu jika berlaku banjir kilat hanya melibatkan Taman Masjid Tanah Ria tetapi kali ini keadaan menjadi lebih teruk melibatkan Pekan Masjid Tanah dan Taman Bandar Baru Masjid Tanah selepas 16 tahun.

“Saya tidak nafikan hujan lebat tanpa henti selama tujuh jam menyebabkan limpahan air dari longkang dan sungai tidak boleh dielakkan hingga berlaku musibah tidak dijangka.

“Tetapi jika sistem saliran lama diperbesarkan termasuk Sungai Durian Daun didalamkan serta dilebarkan, ia akan dapat mengurangkan risiko banjir kilat daripada terus berlaku,” katanya.

Setakat pukul 3.30 petang tadi, mangsa banjir kilat di Masjid Tanah yang berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) meningkat kepada 418 orang daripada 127 keluarga setakat berbanding hanya 360 mangsa daripada 109 keluarga, pukul 7 pagi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Alor Gajah memaklumkan, sebanyak sembilan PPS telah dibuka dan masih beroperasi antaranya PPS Balai Raya Paya Lebar, PPS Perkim Masjid Tanah, PPS Balai Raya Kampung Ramuan China Besar, PPS Balai Raya Ayer Paabas dan PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Jernih.

Tambah Sulaiman, pembinaan dua tebatan banjir di Sungai Durian Daun dan Solok Duku pada 2004 berjaya menyelamatkan Pekan Masjid Tanah daripada tenggelam sepenuhnya.

“Kita ini bernasib baik kerana ada dua tebatan banjir itu, jika tidak ada keadaan yang lebih parah boleh berlaku kerana air boleh melebihi paras leher,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN