ALOR GAJAH: Berlaku kebocoran gas ammonia di sebuah kilang ais di Jalan Tunas Baru, Masjid Tanah di sini kira-kira pukul 8.32 malam, semalam.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Ashari Abu Samah berkata, punca kebocoran dipercayai daripada saluran paip dalam kilang berkenaan.
Ujarnya, tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan selepas seorang pengawal keselamatan warga tempatan bersama empat pekerja Nepal dan seorang Bangladesh berjaya keluar menyelamatkan diri.
“Pihak bomba dari Unit Bahan Berbahaya (Hazmat) mengawal kebocoran gas. Bacaan paras bahaya pada 500 partikel per sejuta (ppm) menurun ke bacaan 300 ppm.
“Pada pukul 1.30 pagi tadi, bomba telah mengesahkan bacaan telah menurun kepada 30 ppm. Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan keadaan terkawal,” katanya. – UTUSAN










