Isu anjing liar di Melaka perlu tindakan tuntas

Isu anjing liar di Melaka perlu tindakan tuntas

MOHD. YADZIL Yaakub menenangkan bapa Allahyarham Muhammad Nur Haikal, Abdul Ghafar Abdullah di Hospital Melaka. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bemban, Dr. Mohd. Yadzil Yaakub menggesa pihak berkuasa tempatan (PBT) menangkap anjing liar yang berkeliaran di Jalan Taman Maju-Lipat Kajang, Jasin dekat sini dengan kadar segera.

Tegasnya, tindakan itu perlu dilakukan segera susulan insiden menimpa seorang penunggang motosikal yang meninggal dunia, selepas melanggar haiwan itu dalam kejadian kira-kira pukul 7.30 pagi, Ahad lalu.

Beliau berkata, mangsa, Muhammad Nur Haikal Abdul Ghafar, 20, menghembuskan nafas terakhir selepas tiga hari mendapatkan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Melaka, petang tadi.

“Hari ini saya mendapat perkhabaran sedih, adik Muhammad Nur Haikal penunggang motosikal yang menjadi mangsa kemalangan melibatkan anjing Ahad lalu meninggal dunia di Hospital Melaka, selepas bertarung nyawa selama tiga hari.

“Seperti semua maklum masalah anjing liar ini bukan lagi satu isu baharu. Ini termasuklah anjing peliharaan yang dibiarkan bebas tanpa diikat.

“Banyak aduan dan tragedi yang berlaku akibat anjing liar yang dibiarkan bebas ini, jika tidak diatasi boleh menyebabkan kemalangan maut melibatkan pengguna jalan raya yang lain,” katanya ketika ditemui selepas menziarahi Allahyarham di Hospital Melaka, hari ini.

Tambah Mohd. Yadzil, isu anjing liar berkeliaran bukan sahaja isu di Jasin tetapi ia melibatkan seluruh negeri ini.

Ujarnya, tindakan tuntas yang komprehensif perlu diambil segera oleh semua PBT agar tragedi buruk melibatkan kehilangan nyawa tidak berulang.

“Semua pihak dan agensi berkaitan harus bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan aktivis pencinta haiwan, duduk semeja membincang cara terbaik untuk mengatasi masalah anjing liar.

“PBT wajar mengambil tindakan tegas kepada pihak terbabit khususnya pemilik anjing yang membiarkan haiwan peliharaan mereka berkeliaran di merata tempat tanpa kawalan sewajarnya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN