Pembantu kedai makan maut, dua motosikal bertembung

Pembantu kedai makan maut, dua motosikal bertembung

KEADAAN dua motosikal yang remuk selepas terlibat dalam kemalangan dan mengorbankan Syakirul Farha Mohd. Redhuan (gambar kecil) di Jalan Telok Gong, Masjid Tanah, Melaka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH: Seorang maut manakala seorang lagi parah selepas motosikal mereka bertembung di Jalan Telok Gong, Masjid Tanah di sini, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2.35 petang itu, mangsa, Syakirul Farha Mohd. Redhuan, 21, yang bekerja sebagai pembantu kedai makan meninggal dunia akibat kecederaan parah pada bahagian kepala.

Seorang lagi mangsa, Muhammad Firdaus Suroto, 19, yang menunggang motosikal Yamaha 135LC cedera pada bahagian muka dan patah kaki kanan.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Ashari Abu Samah berkata, ketika kejadian mangsa yang maut sedang dalam perjalanan ke tempat kerja dari Kuala Sungai Baru menghala ke Pengkalan Balak.

“Kemalangan dipercayai berlaku apabila mangsa yang menunggang motosikal Honda Vario telah memotong sebuah kenderaan lain dihadapannya sebelum bertembung dengan motosikal Yamaha 135LC yang datang dari arah bertentangan.

“Akibat pelanggaran itu wanita tersebut disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Alor Gajah. Mayat mangsa diserahkan kepada unit forensik untuk proses bedah siasat,” katanya.

Tambah Ashari, Kenderaan yang terlibat ditahan untuk pemeriksaan di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN