Maut selepas rempuh tiga kereta di lampu isyarat

Maut selepas rempuh tiga kereta di lampu isyarat

KEADAAN Proton Wira yang remuk pada bahagian hadapan selepas terlibat kemalangan di Jalan Datuk Mohd. Zin, Cheng, Melaka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Seorang lelaki maut selepas kereta dipandu hilang kawalan sebelum merempuh tiga kenderaan lain yang sedang berhenti di lampu isyarat di Jalan Datuk Mohd. Zin, Cheng di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9.15 pagi itu, mangsa, Tan Wee Kok, 42, meninggal dunia akibat kecederaan parah pada bahagian dada.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, ketika kejadian mangsa yang maut memandu kereta Proton Wira sedang dalam perjalanan dari Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) ke Taman Merdeka.

“Pada masa sama tiga kenderaan lain iaitu Hyundai Accent, Nissan Grand Livina dan Toyota Vios sedang menuju arah sama. Setibanya di lokasi kejadian, kereta mangsa dipercayai hilang kawalan lalu melanggar tiga kereta lain yang sedang berhenti kerana lampu merah.

“Akibat pelanggaran tersebut, pemandu Proton Wira maut di lokasi manakala pemandu Hyundai Accent disyaki mengalami patah hidung dan menerima rawatan di zon kuning Hospital Melaka. Pemandu Nissan Grand Livina dan Toyota Vios, masing-masing berusia 39 dan 47 tahun tidak cedera,” katanya.

Tambah Christopher, siasatan di lokasi nahas mendapati kejadian berlaku di jalan dua lorong satu hala dan permukaan jalan basah kerana hujan.

“Polis sedang mengesan saksi bebas dan kamera papan pemuka kenderaan lain yang berada di tempat kejadian. Kenderaan terlibat akan dihantar ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) untuk pemeriksaan. Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” jelasnya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN