Jentera mengecat bangunan selamatkan pasangan suami isteri

Jentera mengecat bangunan selamatkan pasangan suami isteri

MOHD. PISAR Aziz ditemui di lokasi kebakaran melibatkan premis bilik sewa di Plaza Mahkota, Banda Hilir, Melaka. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Tindakan pantas orang ramai berjaya menyelamatkan sepasang suami isteri yang ketika itu berada di tingkat dua premis bilik sewa yang terbakar di Plaza Mahkota, Banda Hilir di sini, hari ini.

Saksi kejadian yang juga pengusaha Restoran Asam Pedas Selera Kampung, Saharudin Mohd. Nor, 56, berkata, dia bersama pekerjanya bergegas ke tempat kejadian sejurus terdengar jeritan menyebut ‘terbakar’ tidak jauh dari kedainya.

Menurutnya, sewaktu tiba, dia melihat suami isteri terlibat cuba keluar melalui tingkap di tingkat dua, ketika kebakaran sedang bermula di tingkat satu.

“Kebetulan ada jentera yang digunakan dua pekerja mengecat bangunan tidak jauh dari situ.

“Dibantu orang ramai, kami berjaya menyelamatkan pasangan suami isteri daripada maut ketika asap tebal mula menyelubungi semua bilik di tingkat dua.

“Saya ternampak tangan melambai-lambai dari tingkat tiga tetapi tidak dapat berbuat apa-apa kerana asap sangat tebal. Kami hanya mampu berdoa semoga mangsa selamat sebelum anggota bomba tiba selepas itu,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan, dua kanak-kanak meninggal dunia di Hospital Melaka selepas terlibat dalam kebakaran melibatkan premis bilik sewa di Plaza Mahkota.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, mangsa yang maut ialah Nuralia Karisa Abdullah, 12, dan Nur Riaisha Zahra Abdullah, 2, manakala ibu mereka, Azliha Ngah Ariffin, 40, masih dirawat di hospital.

Katanya, kebakaran di tingkat satu, dua dan tiga itu disedari pemilik premis tingkat bawah kira-kira pukul 1.30 tengah hari tadi.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Mohd. Pisar Aziz berkata, tiga jentera bomba dan sebuah jentera skylift dari empat balai dengan kekuatan dua pegawai dan 38 anggota dikejarkan ke tempat kejadian.

Beliau berkata, tiga mangsa termasuk dua kanak-kanak yang maut ditemui di tingkat tiga dalam keadaan tidak sedarkan diri dan dibawa turun serta, sebelum dikejarkan ke hospital.

“Kita menghadapi kesukaran kerana ruang bangunan dari tingkat satu hingga tingkat tiga dipenuhi asap tebal dan haba, namun operasi berjalan lancar.

“Kebakaran dipercayai hanya berlaku di tingkat satu rumah kedai berkenaan dan kita mengambil masa kira-kira dua jam untuk memadamkan kebakaran tersebut,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN