MELAKA: Dua kanak-kanak meninggal dunia di Hospital Melaka selepas terlibat dalam kebakaran melibatkan premis bilik sewa di Plaza Mahkota, Banda Hilir di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, mangsa yang maut ialah Nuralia Karisa Abdullah, 12, dan Nur Riaisha Zahra Abdullah, 2, manakala ibu mereka, Azliha Ngah Ariffin, 40, masih dirawat di hospital.
Katanya, kebakaran di tingkat satu, dua dan tiga itu disedari pemilik premis tingkat bawah kira-kira pukul 1.30 tengah hari tadi.
Jelasnya, saksi kejadian yang menginap di tingkat dua memaklumkan, pada pukul 1.50 tengah hari mereka melihat asap tebal memasuki bilik sebelum pasangan suami isteri itu bertindak menyelamatkan diri.
“Saksi terus keluar bersama isterinya untuk menyelamatkan diri. Kedua-dua mangsa ini telah dibawa ke Hospital Melaka dan keadaan mereka stabil.
“Dalam operasi menyelamat yang dijalankan pihak bomba telah berjaya mengeluarkan tiga mangsa yang berada di sebuah bilik di tingkat tiga. Kesemua mangsa telah dibawa keluar daripada bangunan dan dibawa ke Hospital Melaka dalam keadaan tidak sedarkan diri.
“Anggota Pondok Perhubungan Hospital Melaka mengatakan, kedua-dua anak mangsa telah disahkan meninggal dunia di Hospital Melaka,” katanya.
Tambah Christopher, tingkat satu mempunyai lima bilik sewa, tingkat dua (10 bilik) dan tingkat tiga (enam bilik).
“Selain daripada tiga mangsa yang diselamatkan, kesemua penghuni lain yang menyewa tidak ada di bilik dipercayai keluar bekerja,” katanya. – UTUSAN









