MELAKA: Kejadian dahan pokok tumbang di Lebuh Ayer Keroh di sini hingga menyebabkan berlaku kemalangan membabitkan sebuah kenderaan pacuan empat roda pagi tadi merupakan insiden di luar jangkaan.
Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), Datin Sapiah Haron berkata, siasatan awal dilakukan pihaknya adalah bagi mengenal pasti sebab dahan itu patah.
Menurutnya, sebelum ini MPHTJ telah mengenal pasti pokok yang didapati reput dan dimakan anai-anai untuk dipotong atau dicantas di sepanjang Lebuh Ayer Keroh bermula dari plaza tol hingga hadapan Pejabat MPHTJ.
“Setakat ini lebih 30 batang pokok yang berisiko telah ditebang bagi mengelak daripada pokok tumbang yang mungkin boleh menyebabkan kehilangan nyawa dan kecederaan kepada pengguna jalan raya di situ.
“Di hadapan Zoo Melaka lebih 20 batang pokok tua dan reput telah dipotong atau dicantas. Apa yang terjadi pagi tadi di Lebuh Ayer Keroh sebenarnya di luar jangkaan, walaupun kita telah memotong pokok-pokok yang berisiko di Lebuh Ayer Keroh.
“Ekoran kejadian itu saya telah mengarahkan kakitangan MPHTJ untuk membuat pemeriksaan lebih terperinci termasuk memastikan dahan pokok yang reput dimakan anai-anai segera dicantas,” katanya.
Tambah Sapiah, setakat ini pihaknya telah mencantas lebih 120 batang pokok berisiko di sepanjang laluan dari Batu Berendam hingga ke Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM).
“Pemeriksaan berkala juga telah dilaksanakan bagi memastikan tidak ada pokok yang dimakan anai-anai segera dicantas termasuk di bahagian dahan,” katanya. – UTUSAN










