MELAKA: Malang tidak berbau buat sebuah keluarga selepas terlibat kemalangan di Jalan Taming Sari di sini malam tadi, sehingga mengakibatkan si isteri yang hamil sembilan bulan maut bersama kandungannya.
Mangsa, Puteri Nur Iman Hamidun, 27, meninggal dunia di Hospital Melaka ketika mendapatkan rawatan manakala suaminya, Muhammad Helmi Abdul Razak, 28, mengalami kecederaan pada muka dan anggota badan.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, semasa kejadian kira-kira pukul 8 malam, pasangan itu menunggang motosikal dan sedang dalam perjalanan dari Pengkalan Rama ke Bukit Palah.
Katanya, setiba di lokasi nahas, sebuah kereta Proton Exora dipandu suri rumah berusia 41 tahun bertindak keluar dari simpang Jalan Mawar secara tiba-tiba dan membelok ke kanan untuk ke Pengkalan Rama.
“Suami mangsa tidak sempat mengelak lalu merempuh bahagian depan kanan kereta tersebut, lantas menyebabkan isterinya yang membonceng tercampak di atas jalan raya.
“Akibat kemalangan itu, si isteri mengalami kecederaan parah pada kepala, perut dan punggung,” katanya.
Tambah Christopher, si isteri dikejarkan ke hospital dengan ambulans, namun mangsa dan kandungannya disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan.
Ujarnya, saksi yang melihat kejadian diminta tampil membantu siasatan kerana kawasan itu tidak mempunyai kamera litar tertutup (CCTV).
“Kita minta orang ramai yang melihat kejadian untuk tampil membantu siasatan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Melaka bagi bedah siasat,” katanya. – UTUSAN










