Perdana Menteri minta aspek keselamatan penumpang bas

Perdana Menteri minta aspek keselamatan penumpang bas dikaji semula

SHAMSUL ISKANDAR Mohd. Akin menyampaikan sumbangan wang tunai RM10,000 yang diterima abang Allahyarham Hadi Ashraf Mad Idris, Mohd. Zaki Mad Idris di Padang Temu, Melaka. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu Kementerian Pengangkutan meneliti semula soal keselamatan penumpang bas berikutan kekerapan berlakunya kemalangan maut membabitkannya di negara ini.

Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd. Akin berkata, Perdana Menteri berasakan beberapa tindakan susulan perlu dilakukan terutama dalam aspek keselamatan penumpang bas.

Menurutnya, perkara itu disuarakan Anwar susulan kemalangan bas persiaran dengan treler di simpang tiga Bahau, Jalan Kuantan-Segamat, Pahang yang mengorbankan empat penumpang setakat ini.

“Perdana Menteri menzahirkan rasa sedih atas apa yang berlaku hingga menyebabkan empat penumpang meninggal dunia setakat ini.

“Beliau (Anwar) turut menzahirkan rasa simpati dan belangsungkawa ke atas empat keluarga mangsa atas kehilangan orang tersayang.

“Saya mewakili Perdana Menteri telah melawat kesemua keluarga mangsa dan menyampaikan salam takziah serta menyampaikan bantuan RM10,000 kepada setiap mangsa yang terkorban,” katanya selepas melawat keluarga pemandu kedua bas persiaran, Allahyarham Hadi Ashraf Mad Idris, 29, di Padang Temu di sini, hari ini.

Beliau turut melawat dan menyampaikan bantuan kepada tiga lagi keluarga mangsa iaitu Allahyarhamah Hasnatul Adilah Hassan di Taman Datuk Setia, Ramuan China Besar; Allahyarham Hamzah Ahmad di Kampung Solok Kemang dan Allahyarhamah Dahlia Ahmad di Kampung Sungai Tuang.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1.30 pagi semalam, bas persiaran dengan 39 penumpang itu membawa rombongan dari Sekolah Kebangsaan (SK) Jeram menuju ke Terengganu bagi menyertai rombongan penanda aras.

Tambah Shamsul Iskandar, Perdana Menteri turut mengucapkan terima kasih kepada pasukan penyelamat, sukarelawan dan kakitangan hospital yang bertungkus lumus membantu mangsa kemalangan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN