MELAKA: Seorang maut manakala seorang lagi parah selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan dua buah motosikal di Jalan Tun Fatimah di sini, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10 malam itu, mangsa, Ng Yong Ching, 33, yang menunggang motosikal Yamaha 135LC maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah dan Zainuddin Alias, 59, mengalami patah kaki kanan.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, ketika kejadian mangsa yang maut sedang dalam perjalanan dari Malim menghala ke Taman Merdeka.
“Setibanya di lokasi nahas, penunggang Yamaha 135LC telah berlanggar dengan sebuah motosikal Benelli ditunggang seorang juru X-ray yang dipercayai sedang keluar simpang dari Jalan Tun Fatimah menuju Malim.
“Akibat pelanggaran tersebut, penunggang Yamaha 135LC maut di tempat kejadian manakala penunggang Benelli patah kaki kanan dan dirawat di Zon Kuning Hospital Melaka,” katanya.
Tambah Christopher, polis masih menunggu laporan bedah siasat bagi mengetahui punca sebenar kematian dan enderaan terlibat akan dihantar ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) untuk pemeriksaan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya. – UTUSAN









